HomeBeritaPRU15 sekarang untuk wujudkan kerajaan stabil, hadapi cabaran ekonomi global - Ahmad...

PRU15 sekarang untuk wujudkan kerajaan stabil, hadapi cabaran ekonomi global – Ahmad Zahid

CYBERJAYA: Pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 amat penting diadakan dengan segera kerana negara bakal berdepan dengan cabaran getir kemelesatan ekonomi global pada tahun depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ramalan kemelesetan ekonomi telah dibuat oleh organisasi kewangan dan pihak ekonomi antarabangsa justeru mengalami kesuntukan masa untuk persiapan menghadapi jangkaan krisis ini disebabkan ketidakstabilan kerajaan yang ada sekarang.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada tiga bulan lalu telah mengunjurkan prospek ekonomi global akan ‘menjadi gelap dengan ketara’ sejak April 2022 serta meramalkan dunia bakal menghadapi kemelesetan ekonomi tidak lama lagi.

“Berbaki tempoh kurang tiga bulan sebelum ‘recession’ melanda yang akan kebanyakan negara di dunia, kemelesetan ekonomi mungkin terjadi pada awal Disember tahun ini.

“Oleh itu, Malaysia amat memerlukan sebuah kerajaan stabil dan kukuh yang mampu bergerak sehaluan dalam mengatur langkah serta strategi berkesan untuk melindungi Malaysia daripada impak kemelesetan ekonomi ini,” ujarnya menerusi hantaran laman Facebook beliau.

Tambah Zahid, hanya Barisan Nasional (BN) mampu menguruskan ekonomi negara serta memperoleh keyakinan mendapat sokongan yang kuat dari rakyat untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kukuh.

Menurut beliau, kegagalan pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) yang membelakangkan kepentingan rakyat serta pemerintahan 17 bulan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) yang sentiasa mempunyai muslihat mengukukuhkan kuasa politik sehingga Perdana Menteri tidak lagi dihormati telah menyebabkan sokongan rakyat kini beralih semula kepada BN.

“Negara dibawah pentadbiran PH memiliki sebuah kerajaan cacamarba, tidak tersusun dan lebih mengutamakan agenda politik berbanding kepentingan rakyat dan negara.

“Sementara itu, pentadbiran kerajaan PN disertai sebilangan wakil rakyat BN, namun diketuai pemimpin politik bermuslihat menamatkan lawan politik bagi mengukuhkan kuasa. Perdana Menteri tidak lagi dihormati, malah diserang dan cuba dilemahkan anggota pentadbiran daripada parti lain.

“BN yakin rakyat akan memberi sokongan kuat kepada gabungan politik ini untuk kembali membentuk kerajaan dominan kerana BN pernah membuktikan kemampuannya mengurus ekonomi negara,” jelasnya lagi.

Author

Pilihan Editor