HomeTeknologiJENDELA Map mudahkan pengguna buat aduan telekomunikasi - MCMC

JENDELA Map mudahkan pengguna buat aduan telekomunikasi – MCMC

 

KUALA LUMPUR: Pengguna kini boleh memberi maklum balas ataupun aduan berkaitan liputan, kelajuan telekomunikasi dan penggunaan Internet dengan lebih mudah menerusi aplikasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) Map.

Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Shamsul Izhan Abdul Majid berkata, menerusi aplikasi tersebut yang dilancar pada Ogos tahun lepas, pengguna boleh menghantarkan aduan mereka secara terus kepada syarikat penyedia perkhidmatan.

“Kami di MCMC akan memantau sama ada aduan yang diterima telah diproses atau masih diabaikan. Jika ada aduan yang kami dapati masih tiada tindakan, kami akan tanya kepada mereka (syarikat penyedia perkhidmatan) kenapa lambat dan sebagainya.

“Ini kerana kita ingin memastikan aduan pengguna itu segera diselesaikan. Penyedia perkhidmatan perlu mengambil tindakan secepat mungkin,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Internet dan Anda terbitan Bernama TV, malam tadi.

Shamsul Izhan berkata, tempoh penyelesaian sesuatu aduan bergantung kepada kerumitan masalah yang dihadapi.

Beliau berkata, setiap aduan yang dibuat, pengguna akan diberikan nombor telefon pembekal perkhidmatan yang terlibat untuk dihubungi bagi mengetahui status aduan mereka.

Shamsul Izhan berkata sehinga kini, aplikasi JENDELA Map telah dimuat turun lebih 10,000 kali dengan dianggarkan lima pengguna menggunakan aplikasi tersebut dalam setiap 10 minit.

Selain memberikan aduan ataupun maklum balas, pengguna juga boleh menggunakan perkhidmatan lain yang disediakan menerusi aplikasi tersebut seperti rangkaian postal dan kurier serta perkhidmatan-perkhidmatan lain di bawah kawalan MCMC.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi tersebut menerusi Play Store dan Apple Store atau layari laman web jendela.my untuk menyalurkan aduan ataupun maklum balas. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor