KUALA LUMPUR: Dengan berbaki dua tahun sahaja lagi, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky memberi fokus ke arah usaha membentuk beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah sebagai pencabar pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Rexy berkata keupayaan permainan pasangan ke-11 dunia itu seakan-akan sama atau dapat menyaingi pasangan lain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia ketika ini.
“Saya harus pastikan mereka tidak ke Sukan Olimpik hanya untuk penyertaan sahaja, mesti bertanding untuk jadi calon memperoleh pingat.
“Jika dapat pingat pastinya bagus buat Malaysia kerana acara beregu wanita tidak pernah sumbang pingat di Sukan Olimpik sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.
Pakar beregu dari Indonesia itu juga berharap dapat membantu satu lagi pasangan negara, Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing untuk layak beraksi pada temasya sukan berprestij itu kelak.
Bagaimanapun, Rexy menegaskan gandingan di ranking ke-29 dunia itu yang berpotensi untuk melangkah lebih jauh, perlu meningkatkan tahap keyakinan diri mereka menjelang Paris 2024.
“Kepercayaan diri Anna-Mei Xing harus lebih kukuh lagi, mereka pernah kejutkan dua pasangan yang berada di top 10 dunia iaitu Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan (ranking ketiga) pada Terbuka Malaysia 2022 serta Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun (ranking keenam) pada Masters Malaysia 2022,” tambahnya.
Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 bagi acara beregu lelaki itu berharap tiga beregu lelaki negara termasuk juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan juara Terbuka Jerman 2022, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani layak ke temasya sukan di Perancis itu nanti.
Dalam pada itu, beliau mengakui berdasarkan prestasi semasa, peluang agak sukar bagi mana-mana pasangan beregu campuran negara untuk melakar kejayaan pada Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus mengulangi pencapaian Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang merangkul perak pada Rio 2016 di Brazil.
Mei lepas, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan bahawa tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik 2024, dikenali sebagai “Race to Paris” ditetapkan bermula dari 1 Mei 2023.
Sukan Olimpik Paris 2024 dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos. – BERNAMA