HomeBeritaRM1 juta untuk program Pintar Botani Tabika KEMAS

RM1 juta untuk program Pintar Botani Tabika KEMAS

TANJUNG MALIM: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan program Pintar Botani melibatkan 500 buah tabika KEMAS di seluruh negara mulai tahun depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Modul Pintar Botani itu adalah aktiviti luar bilik darjah yang menerapkan aspek Sains dan Teknologi serta Amalan Gaya Hidup Sihat melalui makanan seimbang dan berkhasiat.

“Program ini adalah aktiviti mengindahkan persekitaran tabika KEMAS dengan mendidik kanak-kanak menanam pokok sayur-sayuran serta buah-buahan dan hasil tuaiannya boleh dimasukkan dalam menu makanan di Tabika KEMAS yang disediakan oleh pembantu Pemaju Masyarakat Sukarelawan.

Ini sekaligus menjadi usaha KEMAS untuk memastikan kanak-kanak mendapat zat makanan yang seimbang agar tahap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak yang lebih baik selain mereka mendapat pengalaman yang menyeronokkan sepanjang belajar di Tabika KEMAS.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Potensi KEMAS Peringkat Kebangsaan 2022 Edisi ke-17 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini pada Ahad.

Jelas Mahdzir, aktiviti di luar bilik darjah menerusi Modul Pintar Botani itu juga akan membantu pembentukan pemikiran kreatif dan sifat bekerjasama dalam kalangan kanak-kanak.

“Program Pintar Botani ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan tanah dan menceriakan kawasan tabika malah menjadikan persekitaran Tabika KEMAS lebih menarik dengan penyediaan landskap serta tumbuhan hijau seperti sayur-sayuran dan pokok buah-buahan yang akan ditanam.

Pada masa yang sama Mahdzir berharap Program Pintar Botani itu mendapat sokongan dan juga kerjasama para ibu bapa dan juga penduduk sekitar premis Tabika KEMAS.

“Penglibatan program Pintar Botani ini berkonsepkan Keluarga Malaysia melalui penglibatan pelbagai pihak seperti Jawatankuasa Aktiviti tabika, ibu bapa dan penduduk setempat, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Kementerian Kesihatan dan termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO)”, katanya.

Selain itu tambah Mahdzir, program Pintar Botani itu juga akan membolehkan Pemaju Masyarakat Tabika KEMAS memberi pendedahan asas keusahawanan melalui aktiviti jual beli hasil tanaman.

Sementara itu, seramai 1,000 orang kanak-kanak tabika dari seluruh negara menyertai Hari Pontesi KEMAS bagi edisi kali ini.

Program membabitkan pertandingan pelbagai acara sukan yang melibatkan kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun.

Antara acara yang dipertandingkan termasuk futsal, bola jaring, gerak kreatif, rounders dan pelbagai lagi dengan format pertandingan mengikut negeri-negeri.

Author

Pilihan Editor