HomeHiburanSekuel Mat Kilau tampil wajah berbeza, Syamsul, Adi, Beto tidak bersama

Sekuel Mat Kilau tampil wajah berbeza, Syamsul, Adi, Beto tidak bersama

BANGI: Penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali mengesahkan projek filem sekuel Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menampilkan wajah barisan pelakon berbeza.

Abdul Rahman Mat Dali mengesahkan tiga tunjang utama iaitu pengarah, Syamsul Yusof; Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy tidak akan bersama dalam naskah kedua filem itu.

“Watak Mat Kilau Imam Rasu lakonan Adi dan Wahid yang dihidupkan Beto dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, tidak ada kena mengena dengan jalan cerita projek ini.

“Memang ada beberapa pelakon sudah ditawarkan watak kecuali Adi Putra dan Beto kerana watak mereka masih belum diperlukan dalam projek berkenaan.

“Kami tiada masalah, cuma, kali ini mahu memberi peluang kepada pengarah baharu untuk berkarya bersama Studio Kembara bagi memeriahkan lagi industri perfileman,” katanya ditemui pada majlis Studio Kembara Santai Bersama Media di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Abdul Rahman turut menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan Parodi Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Beliau menjelaskan lanjut ketiadaan Adi, Beto dan Syamsul bukan berpunca hubungan keruh antara mereka.

“Kami tiada masalah dan bersikap profesional. Tetapi, kami memang sudah lama tidak berkomunikasi kerana masing-masing sibuk,” katanya.

Berkongsi projek pembikinan filem sekuel itu, Abdul Rahman berkata, naskhah berkenaan akan mula menjalani penggambaran akhir tahun ini atau selewat-lewatnya, awal tahun depan.

“Ada pelakon yang sudah kami buat tawaran dan mereka bersetuju. Malah, kami juga sudah membayar wang pendahuluan,” katanya.

Mengulas mengenai pemberian bonus atas kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan meraih kutipan hampir RM100 juta, Abdul Rahman berjanji mengotakannya.

“Sebelum agih imbuhan atau bonus, saya akan bawa pelakon mengerjakan umrah.

“Fasa kedua pula adalah memberi sumbangan dua mesin dialisis untuk kegunaan masyarakat.

“Ini dianggap tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat. Kemudian, barulah kita agih imbuhan kepada pasukan kerja filem Mat Kilau.

“Setiap daripada mereka akan menerima jumlah imbuhan berbeza dan berdasarkan prestasi,” katanya.

Filem Mat Kilau yang merekodkan kutipan RM97 juta sejak ditayangkan 23 Jun lalu muncul filem tempatan yang mencapai jualan tiket tertinggi dalam sejarah.

Author

Pilihan Editor