HomeNiagaShopee dedah 30% rakyat Malaysia jadikan 'influencer' panduan beli-belah dalam talian

Shopee dedah 30% rakyat Malaysia jadikan ‘influencer’ panduan beli-belah dalam talian

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang, Shopee mengesahkan 30 peratus rakyat Malaysia jadikan ‘influencer’ sebagai panduan untuk membeli-belah secara dalam talian.

Shopee dalam kenyataan pada hari ini, menjelaskan mengenai hasil kajian pasaran kesan ‘influencer’ terhadap pembelian rakyat Malaysia dalam talian yang dijalankan terhadap 2,459 pembeli.

Menurutnya, lima daripada 10 rakyat Malaysia berasa dekat dengan mikro-nano ‘influencer’ iaitu yang mempunyai bilangan pengikut media sosialnya di bawah 500,000.

‘Influencer’ ini dipercayai pembeli kerana mereka membuatkan pembeli berasa dekat menerusi cadangan dari mulut ke mulut kepada kolompok yang mempunyai minat yang berkaitan.

Jelas Shopee, 30 peratus daripada pembeli yang dikaji mengakui bahawa mereka mengikuti ‘influencer’ untuk mengesahkan semula pilihan beli-belah sebelum mereka membeli produk.

22 peratus pula mengikuti ‘influencer’ untuk kekal mengikut trend atau untuk mendidik diri mereka sendiri, manakala 21 peratus mendapati mereka boleh dikaitkan, 20 peratus ingin menemui perkara baharu dan hanya 7 peratus memilih untuk mengikuti mereka demi populariti.

Ketua Kempen Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh menegaskan ‘influencer’ mereka ialah komuniti yang dipercayai pembeli dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, susulan kemunculan banyak peniaga baharu di pasaran sejak pandemik COVID-19, pembeli difahamkan berhadapan dengan lebih banyak pilihan dan lebih banyak perkara yang tidak diketahui.

“Pembeli Malaysia di pasaran kami mengetahui sumbernya, menganggap mereka sebagai rakan sebaya, dan merujuk mereka untuk menentukan sama ada mereka mendapat harga terbaik dan sama ada mereka boleh mempercayai cadangan pengguna,” kata Soh.

Shopee juga mendapati jenis kandungan ‘influencer’ yang paling popular, menurut pembeli Malaysia, ialah ulasan, vlog dan video ‘unboxing’.

Sementara itu, 48 peratus daripada 1,035 peniaga yang dikaji berpendapat ‘influencer’ perlu menyiarkan ‘Instagram reels’ dan video produk mereka yang relevan dan tulen bagi membantu rakyat Malaysia beli-belah dengan lebih bijak.

Manakala 24 peratus mahu produk mereka dipaparkan secara organik dalam kandungan yang menarik, 15 peratus pula mahu melihat produk mereka pada swafoto ‘influencer’, dan 15 peratus lagi mahu ‘influencer’ memberikan produk mereka dalam interaksi langsung.

“Kami amat percaya bahawa komuniti ‘influencer’ kami akan membantu peniaga mencapai pertumbuhan yang mampan kerana kami melihat lebih ramai rakyat Malaysia mempercayai mereka untuk memaklumkan keputusan membeli-belah mereka.

“Shopee Affiliate Programme, Shopee Influencer Marketing Programme, and Shopee Live adalah contoh bagaimana peniaga boleh memanfaatkan komuniti yang dipercayai untuk memupuk hubungan yang lebih bermakna dan setia dalam talian,” tambah Soh.

Kajian yang dijalankan ini telah memulakan cerapan e-dagang Shopee Malaysia edisi November tentang cara ‘influencer’ di Malaysia mempengaruhi khalayak tempatan dan cara peniaga boleh melibatkan diri untuk memupuk kesetiaan dalam talian.

Menurut Shopee, cerapan selanjutnya akan didedahkan pada 2 November ini dan akan meningkatkan tahap ‘influencer’ dengan mendekatkan komuniti melalui Shopee Influencers Fest Countdown Party pada 10 November.

Author

Pilihan Editor