HomeBeritaRara calon MP wanita Melayu pertama DAP

Rara calon MP wanita Melayu pertama DAP

CYBERJAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara muncul sebagai calon Ahli Parlimen wanita Melayu pertama daripada DAP apabila diumumkan sebagai calon Ahli Parlimen Bentong.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan pencalonan tersebut dalam sidang media pengumuman calon DAP di negeri Pahang bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada hari ini.

Menurut beliau, keputusan meletakkan Rara sebagai calon bagi kerusi Parlimen Bentong merupakan langkah yang berani dan strategik parti bagi memastikan hala tuju masa depan DAP ke arah kepelbagaian kaum, dan hala tuju DAP terus berkembang.

“DAP pusat memutuskan untuk memberikan keyakinan penuh kepada calon wanita Melayu, Young Syefura Othman.

“Kita nak supaya Rara sebagai Ahli Parlimen wanita Melayu Pertama DAP, beliau akan menjadi Ahli Parlimen wanita Melayu Pertama DAP jika beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Bentong.

“Saya menaruh kepercayaan, keyakinan penuh kepada beliau kerana beliau telah berkhidmat di kawasan tersebut selama lima tahun seagai ADUN dan mempunyai rekod yang baik, sokongan yang penuh daripada pengundi-pengundi beliau di DUN Ketari,” katanya dalam sidang media itu.

Sidang media tersebut adalah untuk DAP mengumumkan calon-calon PRU15 PH daripada DAP bagi kerusi-kerusi Parlimen di Pahang di mana DAP akan mempertandingkan empat calon bagi kerusi Parlimen Cameron Highland, Raub, Bentong dan Lipis.

Selain Rara yang dicalonkan bertanding di Bentong, calon yang diumumkan ialah Chiong Yoke Kong bagi kerusi Cameron Highland, Chow Yu Hui bagi kerusi Raub dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Author

Pilihan Editor