HomeBeritaPolitikAhli Parlimen bebas beri sokongan tanpa kongkongan parti - Wan Junaidi

Ahli Parlimen bebas beri sokongan tanpa kongkongan parti – Wan Junaidi

CYBERJAYA: Mengikut Perlembagaan, seseorang Ahli Parlimen boleh menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen dari parti lain, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, seseorang wakil rakyat itu bebas membuat keputusan sendiri tanpa dikongkong partinya dan sekiranya keputusan berkenaan membuatkan beliau dipecat dari parti, itu tidak menyebabkan beliau hilang kedudukan sebagai Ahli Parlimen.

“Dari dahulu lagi, Edmund Burke (ahli politik British kurun ke-18) menulis bahawa seorang Ahli Parlimen bebas melaksanakan apa-apa walaupun bertentangan dengan kehendak konstituennya.

“Begitu juga ketua partinya, tidak boleh mengongkong sangat,” katanya seperti dilapor Astro Awani hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Santubong itu turut memaklumkan, perkara tersebut tertakluk dalam Akta Anti Lompat Parti yang dibentuk dengan acuan kita sendiri tanpa terikat kepada apa yang dibuat di Singapura, India dan England.

Jelasnya, perkara itu seakan satu kelompongan dalam undang-undang namun, masih dilaksanakan bagi memberi kebebasan kepada wakil rakyat untuk membuat keputusan berlandaskan Perlembagaan atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen dan bukan sebagai ahli parti.

“Itulah kenapanya dalam undang-undang yang kita buat itu, (misal kata) kalau saya adalah parti yang hendak menubuhkan kerajaan, seseorang dari parti lain nak sokong saya dengan tidak berpindah parti, beliau tak akan kehilangan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor