HomeMV+EksklusifAhmad Zahid berdarah biru Raden, pahlawan Pak Sagor

Ahmad Zahid berdarah biru Raden, pahlawan Pak Sagor

KATA  orang mengenali diri sendiri, mengetahui asal usul dan sejarah, barulah kita tahu dan faham apa tugas kita di muka bumi ini dan ke mana hala tuju kita berakhir.

Berasaskan kefahaman itulah, negara Barat mula mencipta teknologi sains memori genetik daripada DNA supaya manusia mampu mengimbas semula, atau menjejak asal usul mereka walaupun beratus atau beribu tahun lalu.

Jika diambil iktibar dari filem The Assasin’s Creed, kita berupaya menjadi luar biasa dan hebat jika mengenali siapa diri kita.

Mungkin ketika ini di dalam jasad ‘homo sapiens’, kita mengalami ‘amnesia’ atau lupa asal usul walhal beratus tahun lalu darah yang mengalir dalam jasad kita adalah daripada seorang Ratu, Raja, bangsawan, pahlawan, penulis, usahawan, perawat, bahkan penghibur.

Siapa sangka, selepas menjejak asal usul tokoh politik, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, timbul rasa kagum di dalam hati bagi sesiapa yang mendengar kisahnya.

Datuk Abd Hakim Hamidi, adik sedarah dagingnya tampil membetulkan fakta sejarah asal usul keturunan mereka iaitu daripada keturunan Raden Ongko Joyo yang lahir tahun 1280 di Santren, Jogyakarta, dikatakan sering menyilang pedang di belakang badannya tanda seorang pejuang.

Abd Hakim Hamidi

“Kami adalah keturunan Raden berkenaan, berdarah biru di mana sepupu kami dari keturunan ketujuh iaitu Raden Angku Buwono ada istananya di Jogyakarta.

“Di istananya ada tergantung satu gambar moyang kami yang wajahnya 100 peratus mirip saya, dilukis beribu tahun lalu.

“Namun dahulu Belanda sudah hapuskan sistem Raja, tiada raja untuk kuasa rasmi tetapi masih diterima dalam masyarakat kawasan sana.

“Ibu bapa saya lahir di Tanah Melayu tetapi orang cakap mereka lahir di Ponorogo, kisah itu bohong, ada yang sengaja sunting video asal ketika temubual dengan Ahmad Zahid kerana itulah wujud percanggahan maklumat,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Raden Ongko Joyo tahun 1280

Beliau menceritakan sejarah bagaimana keluarganya boleh tiba di Tanah Melayu.

“Moyang lelaki sebelah ibu saya seorang pejuang yang berlawan hapuskan Belanda, moyang kami dikejar oleh Belanda, mereka lari dari Tanah Jawa ke Port Klang (Port Swettenham).

“Di sana moyang saya jadi buruh kasar dan kerana darah pejuang dia tidak senang apabila melihat penindasan, dia bergaduh dan lari ke Pasir Salak bertemu dengan anak Pak Sagor atau dikenali Datuk Sagor.

Datuk Sagor

“Pak Sagor adalah pembesar Perak berkuasa di Kampung Gajah, pahlawan Melayu yang bunuh JWW Birch, penjajah British pada 1875 kemudiannya dia dihukum gantung pada 1877. Anak Pak Sagor dilantik sebagai penghulu di Pasir Salak, dia mahu mengalihkan satu busut kerana dikatakan ada puaka.

“Anak Pak Sagor mahu membina surau di atas tanah busut itu, jadi dia menawarkan barang siapa yang boleh mengalihkan busut berkenaan akan dikahwinkan dengan anaknya iaitu cucu Pak Sagor.

“Ibarat kisah sejarah pedang King Arthur dari England yang terbenam dalam sebuah batu, di mana sesiapa yang boleh mencabutnya daripada batu berkenaan maka dia adalah keturunan King Arthur.

“Begitulah moyang saya yang berdarah biru akhirnya mampu mengalihkan busut tadi, jadi dapatlah dia berkahwin dengan opah saya iaitu cucu kepada Pak Sagor.

“Opah saya orang Melayu Perak, apabila saya bertemu dengan opah, kena cakap bahasa Melayu, apabila bertemu belah ayah saya, saya guna bahasa Jawa.

“Opah saya dari keturunan Pak Sagor yang membunuh JWW Birch, sebab itu antara sumpahan keluarga kami tidak boleh makan ikan tapah dan makan pisang Raja Udang.

“Darah keluarga kami bangsawan dan pahlawan, pejuang dari keturunan Melayu Perak dan Jawa,” katanya.

Semasa membuka kisah ini, tiba-tiba Hakim mengalirkan air matanya, datang sebak di hatinya merasai semangat bangsawan Raden dan kepahlawanan Pak Sagor.

Tambah Hakim, moyangnya seorang yang tegas dalam cara hidup Islam ada kaitan dengan Wali Songo, anak-anaknya tidak dibenarkan kerja kerajaan sebaliknya kerja di madrasah.

“Asal usul nama bapa kami adalah Raden Daroji, tetapi ketika belajar di Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar, beliau sering dipersendakan dan dihina kerana nama Jawa, oleh kerana guru menegur, nama itu ditukar kepada Hamidi.

“Mungkin di situ silapnya yang sepatutnya dibanggakan asal usul kerana Melayu ini wujud sebab bakti, dikenali sebab budi, bukan menyanjung yang sudah pergi tetapi mengangkat yang sedang berbudi, jika dibuka sejarah lama mampukah amanah dilaksana seperti namanya?

“Bukan kita menentukan masa, setiap perkara ada masanya, hanya Dia punca kuasa, hanya Dia yang menentukannya,” katanya lagi.

Justeru, menepati peribahasa Melayu, dari mana tumpahnya kuah, begitulah yang berlaku kepada Ahmad Zahid yang dibesarkan dalam suasana agama dan diasah untuk jadi pemimpin yang meletakkan agama di hadapan.

“Daripada kecil ciri kepimpinan Ahmad Zahid amat terserlah, dari darjah satu hingga darjah enam jadi ketua kelas, dilantik Presiden Perwakilan Pelajar Universiti Malaya, dia masuk Sekolah Agama Izuddin Shah di sini pun dia jadi ketua, sekelas Dato Abdul Murad Khalid, penolong gabenor yang dibuang Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dia masuk politik, jadi Ketua Pemuda Malaysia, jadi Ketua Bahagian Bagan Datuk, dipilih Presiden UMNO Malaysia dan juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Ahmad Zahid lahir sebagai pemimpin, cuma cabarannya besar kerana amanah dan tanggungjawabnya besar, fitnah menjadi senjata untuk jatuhkannya tetapi Allah tetap melindunginya dan dia masih bersama rakyat.

“Rintangannya mungkin kerana dia enggan mengulangi sejarah Raden, dia memilih untuk tidak lari sebaliknya berhadapan segala cabaran dan musuhnya.

“Dia tahu siapa pengkhianat, dia tahu siapa yang mahu jatuhkannya tetapi dia tidak sesekali menjadi pengkhianat parti dan rakyatnya, dia sanggup dihadapkan ke mahkamah di mana dipenuhi oleh orang-orang lantikan Tun Dr Mahathir.

“Demi menjaga ketuanan Melayu, dia sanggup bertahan menepis semua ancaman depan belakang, ketegasan dan ketahanan daya juangnya itu ciri penting seorang pemimpin yang juga Komando berjawatan Jeneral Politik,” katanya.

Tambah beliau, orang lupa pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar berasal dari Turki, Perdana Menteri pertama berasal dari Siam, PM kedua dari Bugis, PM ketiga dari Turki, PM keempat dari Malabari Karala, India, PM kelima dari campuran Cina ala camplang, PM keenam dari Bugis, PM ketujuh adalah PM keempat dari Malabari Karala, India, PM kelapan dan PM kesembilan campuran ala camplang.

“Jadi sewajarnya tiada isu pun keturunan mana yang layak jadi PM tetapi apakah keupayaan mereka untuk mentadbir, untuk menyelesaikan masalah negara, untuk menyatukan semua, digeruni oleh lawan, dihormati oleh kawan.

“Saya tidak nampak karektor seperti ini dari diri orang lain lain kecuali oleh abang yang berkongsi rahim dan membesar dengan saya, dia adalah Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Author

Pilihan Editor