HomeBeritaAJK UMNO dedah konspirasi jatuhkan Noh Omar

AJK UMNO dedah konspirasi jatuhkan Noh Omar

TANJONG KARANG: Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipercayai menerima nasihat salah daripada orang kepercayaan Tan Sri Noh Omar, yang menjadi punca Pengerusi BN Selangor itu tidak tercalon semula di kerusi tradisi, Tanjong Karang.

Mendedahkan perkara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Tanjong Karang sejak 25 tahun lalu, Mohd Rosni Matsol berkata, nama Noh pada awalnya memang ada dalam senarai dan telah dipersetujui oleh Top Five BN.

“Namun telah berlaku pengkhianatan yang dilakukan oleh pegawainya sendiri yang memberi maklumat palsu kepada Pengerusi BN (Ahmad Zahid).

“Konspirasi terancang ini daripada pihak dalaman atau sebahagian pimpinan UMNO Tanjong Karang sendiri yang memberi maklumat palsu kepada Pengerusi BN, ” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Mohd Rosni yang juga anak jati Tanjong Karang itu adalah calon Bebas di Parlimen Tanjong Karang bertanding di kawasan itu setelah kecewa dengan isu berkenaan.

“Setelah BN tumbang tahun 2018, dalam 22 Parlimen di Selangor, hanya satu sahaja penyandang BN kekal iaitu Noh di Tanjong Karang.

“Apabila satu-satunya wakil BN, itulah menyebabkan beliau diangkat sebagai Pengerusi BN di Selangor dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Saya dedahkan perkara ini kerana sayang pada UMNO, semoga perkara ini sampai kepada Ahmad Zahid bahawa beliau telah menerima nasihat yang salah, sewajarnya letak panglima perangnya yang paling kuat kerana BN mahu menawan kembali Selangor,” katanya.

Author

Pilihan Editor