HomeHiburanAyim Razak janji hapus semua 'roundabout' di Shah Alam jika menang PRU15

Ayim Razak janji hapus semua ’roundabout’ di Shah Alam jika menang PRU15

 

CYBERJAYA: Bahang PRU15 semakin terasa di Malaysia apabila rata-rata calon yang bertanding kini mula mengorak langkah dengan mendekati rakyat setempat.

Menariknya, dalam kesibukan calon berkempen terselit telatah sebilangan individu yang tampil berjenaka dengan meletakkan dirinya selaku calon pilihan.

Perkara itu boleh dilihat menerusi hantaran seorang pelawak komediri, Ayim Razak yang memuat naik poster dirinya selaku calon dari parti Perikatan Buaya dan akan bertanding di Shah Alam.

“Rakyat Shah Alam! Masanya telah tiba untuk kita melakukan perubahan!

“Shah Alam merupakan sebuah bandar raya yang cukup pesat membangun namun terdapat beberapa kekurangan yang sering tidak dititikberatkan,” tulisnya pada Isnin.

Dalam poster berkenaan, Ayim menyenaraikan 10 teras utama perubahan yang akan dilaksanakannya sekiranya memenangi kerusi di Parlimen Shah Alam.

Antara yang menarik dijanjikan Ayim adalah untuk memansuhkan semua ’roundabout’ di Shah Alam serta membuka lebih banyak cawangan restoran Hakim & Pecel Lele Padang Jawa.

Hantaran Ayim itu nyata menarik perhatian warga maya khususnya dalam kalangan anak muda.

Malahan, ada di antara netizen turut menyuarakan keluhan mereka kepada ‘calon’ Shah Alam itu.

Meskipun hantaran itu sekadar gurauan, masih ada sebilangan yang bersetuju dengan manifesto yang dikemukakan Ayim hingga sanggup mengundi jika dia benar-benar bertanding dalam PRU15.

 

 

Author

Pilihan Editor