KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Perak menunjukkan peningkatan sementara mereka yang terjejas di Melaka, Sabah dan Kelantan kekal manakala bilangan mangsa di Selangor menurun setakat 9 malam ini.
Di PERAK, mangsa banjir meningkat kepada 874 orang daripada 249 keluarga malam ini berbanding 862 orang daripada 243 keluarga setakat 8 pagi tadi.
Mereka ditempatkan di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Beberapa daerah terus merekodkan peningkatan mangsa dengan mereka ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak di daerah Hilir Perak, Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di daerah Kerian dan SK Titi Gantong di daerah Perak Tengah.
Di Melaka, jumlah mangsa banjir kekal 44 orang daripada 10 keluarga pada 9 malam ini, menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka.
Kesemua mangsa dari daerah Alor Gajah itu ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal.
Mereka adalah penduduk dari Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing, Kampung Panchor dan Lubok China.
Di SELANGOR, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor melaporkan bahawa setakat 8 malam, jumlah mangsa banjir menurun kepada 949 mangsa daripada 255 keluarga berbanding 1,092 individu membabitkan 291 keluarga pagi tadi.
Sebanyak 15 PPS masih dibuka iaitu enam di Sepang, masing-masing tiga di Kuala Selangor dan Kuala Langat, dua di Sabak Bernam dan satu di Klang.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir termenung di Rantau Panjang, Pasir Mas kekal seramai 401 orang daripada 115 keluarga setakat 8 malam ini, sama seperti jumlah yang direkodkan pagi tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa itu kini ditempatkan di empat PPS di SK Tok Deh, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan SK Gual Periok.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di SABAH kekal sama seperti pagi tadi. – BERNAMA