KUALA LUMPUR: Undi bagi 220 kerusi Parlimen kini sedang dikira dengan Sabah dan Sarawak mendahului kiraan tidak rasmi, selepas pusat-pusat mengundi di kedua-dua negeri itu ditutup lebih awal pada 5.30 petang tadi.
Setakat 7.50 malam ini, beberapa keputusan pengiraan awal dipaparkan di media sosial parti-parti politik yang menunjukkkan penjumlahan undi masih berlangsung.
Antaranya membabitkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kini mendahului di Parlimen Sarikei, Sri Aman dan Lawas, Perikatan Nasional (PN) di Beluran, Pakatan Harapan (PH) di Bandar Kuching serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Ranau.
Platform media sosial komunikasi Barisan Nasional (BN), BN Comms pula melaporkan setakat 7.15 malam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, masing-masing mendahului di kerusi Parlimen Bera dan Rembau yang mereka tandingi.
Pusat-pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuka sejak 8 pagi tadi di Semenanjung Malaysia dan ditutup pada 6 petang manakala proses pengundian di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula pada 7.30 pagi selesai di antara 11 pagi hingga 5.30 petang.
Hari ini adalah hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengundian bagi Parlimen Padang Serai diadakan berasingan susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi itu M. Karupaiya pada Rabu lepas.
Manakala proses pengundian di 11 pusat mengundi dalam Parlimen Baram, Sarawak digantung ekoran cuaca buruk yang menyebabkan petugasnya tidak dapat ke pusat berkenaan. – BERNAMA