HomeMV+PendapatButakan mata, biar fahaman ekstremis menular demi kuasa

Butakan mata, biar fahaman ekstremis menular demi kuasa

MUTIARA kata orang tua-tua Melayu, “terlajak perahu boleh undur, terlajak kata badan binasa, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.

Contoh terbaik, pada 6 April 2013, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden UMNO telah mengeluarkan kenyataan bahawa parti PAS adalah Parti Ajaran Sesat selepas pemimpin parti itu mendakwa solat ahli UMNO tidak diterima Allah.

Kini demi kuasa, Muhyiddin ‘memadamkan’ dakwaan beliau itu untuk bersama PAS, namun kenyataan berkenaan tidak pernah hilang dari ingatan 32 juta rakyat yang lain.

Merujuk rekod sejarah pada 7 April 1981, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga telah mengeluarkan Amanat Haji Hadi dalam ceramahnya di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu.

Foto: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat

Rentetan amanat ini telah berjaya dengan menimbulkan porak-poranda masyarakat waktu itu termasuklah jihad menjatuhkan kerajaan sedia ada, peristiwa Memali, peristiwa Al-Maunah, sembahyang dua imam, nikah oleh UMNO tak sah dan sembelihan oleh UMNO juga haram.

Walau pun amanat ini telah difatwakan bertentangan dengan ajaran Islam sebagai haram, sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1984 tetapi sehingga kini ia tidak pernah ditarik balik, tidak ada tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa (polis dan agama), malah Hadi dan ahli serta para penyokong parti PAS masih mempertahankannya.

Mohd Shahiful mengeluarkan kenyataan mengundi BN dan PH boleh menyebabkan masuk neraka.

Pada 11 November lalu ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15, Ketua Pemuda PAS Sik, Kedah mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan kemarahan awam mendakwa jika undi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masuk api neraka.

Zul Zuhaimy

Pelakon, Zul Huzaimy yang membawa watak antagonis Remp-It, Spark juga membuat kenyataan mahu menyembelih orang Kafir Harbi dalam ceramah PAS di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Dalam satu ceramah pada 19 September 2022 di sebuah madrasah Shah Alam, seorang ustaz mengeluarkan kenyataan supaya serang kuil banyak kuil haram dan terdahulu rakannya, Wan Asshima Wan Kamaruddin pernah diheret ke mahkamah kerana mengeluarkan kenyataan yang mengancam penganut Kristian di negara ini.

Beliau selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil miliknya ‘Puteri Mujahidah Wan Asshima Kamaruddin’ pada jam 9.23 pagi, 11 Mac 2021.

Semua kenyataan ini menunjukkan bukti yang jelas pendoktrinan ekstremis puak-puak ini telah bercambah secara halus dalam politik dan masyarakat.

Rakyat sedang melihat dan menilai, jika kenyataan seperti ini keluar dari mulut rakyat pasti ‘laju’ tindakan pendakwaan diambil tetapi apabila mereka ada jawatan dalam politik ‘perlahan’ pula, itu antara komen-komen netizen.

Apabila masuk era kempen pilihan raya, lagi teruk bahasanya demi menagih undi rakyat, menggunakan sentimen agama yang boleh mendatangkan kemarahan awam dan menganggu-gugat keamanan negara.

Juak politik pula bersungguh-sungguh mempertahankan rakan yang terlanjur kata, tampil memohon maaf bagi pihak mereka, ada pula yang mengaku tidak kenal bukan dari kem PAS sebagainya walaupun jelas ceramah diadakan di bawah bumbung PN.

Permohonan maaf dibuat kerana bimbang jejas undian atau membawa kekalahan PN, bukan datang dari jiwanya yang murni.

Jangan lupa kandungan video kenyataan mereka sudah tular di TikTok ditonton anak-anak berusia 12 tahun, bawah usia 18 tahun, anak remaja, suri rumah, mualaf yang baru masuk Islam hinggalah ke peringkat golongan profesional Melayu dan anak-anak Raja.

Seharusnya pucuk pimpinan mana-mana parti mengambil tindakan tegas, gantung atau pecat mereka yang melanggar adab berbahasa kerana kesannya boleh dibawa dari tahun ke tahun berikutnya selagi ada internet.

Pemimpin mana-mana parti tidak boleh dilihat garang ucapan berapi-api di atas pentas, jaga perasaan orang yang hadir berbilang agama.

Hati-hati apabila menggunakan istilah kafir harbi kerana jika salah guna ianya boleh menatijahkan peperangan dan keganasan.

Oleh itu jangan sewenang-wenangnya galak menggunakan istilah yang kita sendiri tidak tahu akibatnya boleh membawa kepada Akta Hasutan atau Anti Keganasan.

Berpolitik secara matanglah dengan fakta bukan emosi dan sentimen.

 

Author

Pilihan Editor