HomeTeknologiVolkswagen cipta kerusi pejabat futuristik

Volkswagen cipta kerusi pejabat futuristik

 

BERLIN: Sepasukan pereka dan jurutera syarikat pengeluar kenderaan, Volkswagen membina sebuah kerusi pejabat berteknologi tinggi yang boleh ‘dipandu’ dengan kelajuan mencecah 20 kilometer (km) sejam.

Menariknya, kerusi pejabat boleh bergerak itu dicipta bagi menawarkan beberapa ciri yang tersedia pada kereta Volkswagen untuk digunakan pada kerusi pejabat.

Kerusi berkenaan dilengkapi motor dan sistem kawalan yang membolehkan pengguna memandunya ketika bekerja di pejabat, lapor laman berita Oddity Central.

Selain itu, kerusi pejabat boleh bergerak itu turut mempunyai ciri tali pinggang keledar, hon, pembesar suara dan rim kecil pada bahagian roda kerusi.

Kerusi pejabat futuristik itu juga dilengkapi sistem deria pencegahan pelanggaran 360 darjah, kamera sandaran, paparan skrin sentuh, lampu depan pada tempat letak tangan, lampu diod pemancar cahaya (LED), ruang pengecasan USB, poket kecil untuk menyimpan dokumen dan logo Volkswagen pada penyandar kepala.

Malahan, kerusi yang menggunakan bateri yang boleh ditukar itu turut menawarkan jarak pemanduan sehingga 12km dengan sekali cas.

Menurut Volkswagen, kerusi tersebut dibina hanya sebagai satu projek pemasaran untuk menyerlahkan pelbagai ciri yang dipandang remeh oleh pemandu.

Syarikat itu berkata, kerusi berkenaan akan ‘tersedia untuk dipandu uji di pelbagai lokasi’ dalam masa terdekat.

Author

Pilihan Editor