HomeBeritaPolitikEmpat fokus utama Nurul Fadzilah jika menang

Empat fokus utama Nurul Fadzilah jika menang

SETIAWANGSA: Calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Setiawangsa, Nurul Fadzilah Kamaludin menyenaraikan empat fokus utama jika dipilih sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Ketua Srikandi Muda Bersatu itu berkata, terdapat 10 inisiatif yang ditawarkan dalam manifesto di Parlimen Setiawangsa tetapi empat perkara akan menjadi fokus dalam tempoh tiga bulan beliau memegang amanah.

“Pertama adalah Setia Wanita Prihatin iaitu klinik guaman untuk membantu wanita teraniaya dan yang alami depresi, mereka memerlukan khidmat kaunseling.

“Kedua, pusat khidmat rakyat sebagai ‘one stop centre’, permudah cara supaya rakyat dari PPR, flat mudah untuk datang dan mendapat bantuan pada bila-bila masa.

“Ketiga, Dapur Setia di mana kita akan sediakan masakan panas berkhasiat, kolaborasi dengan NGO, sediakan makanan kepada PPR, sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Keempat, isu pendidikan anak-anak muda, kolaborasi dengan Universiti Lim Kok Wing (LKW), 500 tempat kosong serta biasiswa untuk anak Setiawangsa, jadi semua ini adalah fokus saya dalam tiga bulan pertama,” katanya kepada MEDIA VARIASI ketika sedang berkempen di simpang empat Danau Kota, di sini.

Nurul Fadzilah, 33, membesar di Menara Jentayu AU3 dan Pulapol Setiawangsa melakukan kempen di lampu isyarat Danau Kota untuk menagih undi.

Parlimen Setiawangsa pada PRU15 Sabtu ini menyaksikan pertembungan enam penjuru iaitu calon PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, calon Pejuang, Bibi Sunita Sakandar Khan, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Izudin Ishak, Lim Yen Tiong (Bebas), Mior Rosli Mojd Jaafar (Bebas).

Pada PRU14, sejumlah 72,136 pemilih berdaftar di Parlimen Setiawangsa mengambil bahagian dalam proses pengundian.

Kerusi Parlimen itu dimenangi penyandang daripada PKR, Nik Nazmi dengan majoriti 14,372 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Tan Sri Dr. Zulhasnan Rafique yang memperoleh jumlah undi 20,099 dan calon Pas, Ubaid Abd. Akla yang meraih 6,282 jumlah undi.

Author

Pilihan Editor