SUNGAI PETANI: Enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan penyokong parti politik di kawasan Dataran Zero, di sini pada awal pagi Sabtu lepas.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 26 tahun itu, ditahan di kawasan Jalan Lagenda Height, di sini pada 2 petang semalam.
“Pada 19 November pukul 2.15 pagi, pihak polis telah menerima maklumat mengenai pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong parti politik di kawasan berkenaan dan anggota digerakkan ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan.
“Siasatan setakat ini mendapati pergaduhan disebabkan pertembungan dua kumpulan penyokong parti berlainan dan berlaku pergeselan bendera parti yang mengenai tubuh seorang penyokong parti politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya polis juga telah mengenal pasti dua lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan sedang mengesan mereka.
Katanya kesemua mereka direman dua hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 9(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
Wan Hassan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut sehingga boleh menggugat ketenteraman awam dan menyerahkan tindakan sepenuhnya kepada polis. – BERNAMA