HomeBeritaPolitikBN, PH tidak akan lupa pengkhianatan 2M

BN, PH tidak akan lupa pengkhianatan 2M

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diingati sejarahnya bukan sahaja tanpa panglima perang Barisan Nasional (BN) paling fenomena iaitu Datuk Seri Najib Razak buat kali pertama, malah akan diingati sebagai tiada satupun parti mampu membentuk kerajaan.

Ada netizen yang seloroh mengatakan mungkin doa Najib dalam penjaralah, hari ketiga tamat PRU15, Malaysia belum ada kerajaan baharu.

BN berhati-hati dalam membuat percaturan, memilih pasangan untuk ‘dinikahi’ mungkin masih terkejut dengan keputusan PRU15 baru-baru ini dan mengambil kira pengalaman lalu semuanya diambil kira.

Semua perkara dinilai, diteliti rapi kerana keputusan yang dibuat nanti kesannya untuk lima tahun, satu tempoh masa yang lama.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pertimbangan utama BN ialah melindungi parti daripada dikhianati dua M (2M) iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, persamaan musuh antara BN dan PH iaitu Mahathir dan Muhyiddin atau 2M, dua pemimpin yang terbabit dalam perancangan licik menghantar Najib ke penjara juga tidak akan dilupakan.

“Persamaan lain kerana dasar BN sendiri mesra pelbagai kaum dan agama serta komited memerangi salah guna kuasa dan meningkatkan integriti terutama selepas kerajaan gagal PN yang menyamun RM600 bilion semasa PKP dengan Parlimen digantung atas alasan darurat,” katanya.

Malah katanya BN boleh menjadi kuasa penentu kepada kerajaan baharu gandingan BN-PH ini dan boleh bertindak keluar kerajaan bila bila masa jika ada dasar dasar yang merugikan Melayu Islam dan Raja-Raja Melayu.

“BN dan PH akan membongkarkan segala salah laku Mahathir dan Muhyiddin selama ini dan gabungan PH BN akan menjadi mimpi ngeri bagi kluster katak dan kluster Putrajaya yang melompat dan mengkhianati parti selepas PRU14.

“Negara akan kembali kaya apabila duit yang dilarikan Mahathir atau dicuri oleh penyamun dalam kerajaan Muhyiddin sebelum ini berjaya dirampas kembali selepas kerajaan baru BN PH berjaya dibentuk,” katanya.

Tambahnya lagi, orang-orang Mahathir dalam UMNO pasti akan bersuara menentang gabungan ini kerana takut salah laku mereka akan dibongkar selepas berjaya disucikan oleh Mahathir dan Muhyiddin sebaik sahaja mereka menyertai Bersatu dan PN.

“Jika ahli ahli UMNO memahami situasi ini senanglah parti membuat keputusan terutama bagi penyokong-penyokong Najib yang melihat bagaimana pemimpin kesayangan mereka sudah dipenjarakan angkara perancangan jahat Mahathir dan Muhyiddin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shabery berkata, UMNO pasti akan berpecah kerana keputusan sertai PH apabila kluster Putrajaya akan melompat keluar namun ia lebih baik dari dikuburkan jika menyertai PN yang sudah nampak muslihat jahat mereka selama ini.

Beliau berkata, rekod dan pengalaman buruk bersama PN terutama, selepas dikhianati oleh PAS dan Bersatu.

“Malah, beberapa kali tawaran dibuat untuk kerjasama namun PAS tetap memilih PN.

“BN elok memilih rakan sekutu baharu dari DAP yang kini sudah bertukar kepimpinannya kepada Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung.

“MCA pula sebenarnya adalah parti yang sudah gagal dan seperti selesa dengan kegagalannya untuk merosakkan peluang BN menang di puluhan kerusi BN yang ditandingi.

“Jika PAS boleh bekerjasama dengan DAP dahulu sudah tentu BN boleh sahaja membuat kerjasama dengan syarat yang tidak merugikan asas perjuangan BN selama ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor