HomeBeritaFitnah punca keruntuhan tamadun bangsa - Zahid

Fitnah punca keruntuhan tamadun bangsa – Zahid

KUALA LUMPUR: Sejarah Kesultanan Melayu Melaka mengajar generasi hari ini dan akan datang supaya mengelak daripada menerima berita palsu dan fitnah yang menjadi punca kemusnahan dan keruntuhan tamadun bangsa.

Justeru, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat di negara ini untuk menyorot kembali sejarah menerusi video ceramah Datuk Badli Shah Alauddin yang diulang siar berserta hantaran pendek di akaun Facebooknya.

Katanya, rakyat wajar mengambil iktibar sejarah daripada kesan yang berlaku hari ini akibat berita palsu dan fitnah.

“Bahaya penyebaran berita palsu dikupas oleh penceramah wajar menyedarkan kita semua.

“Jangan kerana amarah kita mengenepikan hukum Allah dan rela kemudaratan besar berlaku di negara kita,” katanya.

Menerusi video berdurasi 11.50 minit, Badli Shah menyorot sejarah bagaimana Hang Tuah menerima hukuman bunuh daripada Sultan Melaka akibat daripada berita palsu yang tersebar hingga mengundang kemurkaan.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengimbas kisah-kisah natijah berita palsu yang memusnahkan kegemilangan bangsa termasuk zaman kesultanan Melayu yang antaranya peristiwa pembunuhan beberapa sultan Melayu yang dibunuh termasuklah Hang Nadim.

Author

Pilihan Editor