HomeBeritaGara-gara cantas bendera parti, duda kena penjara 12 bulan

Gara-gara cantas bendera parti, duda kena penjara 12 bulan

CYBERJAYA: Gara-gara mencantas 50 batang bendera parti politik di Alor Setar, seorang lelaki berstatus duda, dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan.

Tertuduh, Burhanuddin Hussain, 41, mengaku bersalah atas perbuatan khianat itu dan kerana gagal membayar denda RM4,500, dia terpaksa dimasukkan ke penjara.

Burhanuddin membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif, lapor Berita Harian pada Khamis.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan khianat mencantas bendera parti politik di tepi jalan Kampung Alor Parit, Jalan Bukit Raya, Pendang, di antara jam 10 pagi hingga 11.30 pagi sehingga menyebabkan kerugian RM1,600.

Kesalahan tersebut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Sabirah Ramli.

Dalam prosiding berkenaan, Sabirah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan tertuduh hanya berpendapatan RM1,200 sebulan, selain perlu menyara anak perempuan berusia 17 tahun dan ibunya berusia 77 tahun.

Bagaimanapun, Asmaa’ memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal ke atas tertuduh yang bekerja sebagai juruelektrik, memandangkan kes tersebut melibatkan kepentingan awam.

Mahkamah kemudian memutuskan hukuman denda RM4,500 atau penjara 12 bulan, jika tertuduh gagal membayar denda.

Tertuduh gagal membayar denda dan dihantar ke Penjara Pokok Sena bagi menjalani hukuman penjara.

 

Author

Pilihan Editor