KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal esok sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menerusi satu video yang dikongsi di akaun Facebook rasmi beliau hari ini, Hishammuddin berkata, setiap undi itu penting demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
“Setiap undi itu penting dalam menentukan kerajaan yang memerintah untuk lima tahun yang datang. Buat pilihan bijak, pilih calon dan parti yang mempunyai rekod pencapaian yang baik kerana ini pertimbangan paling adil,” katanya.
Beliau menasihatkan warga ATM dan pasangan keluar awal untuk mengundi serta menjaga disiplin semasa proses pengundian.
“Pelihara nama baik ATM, buktikan ATM adalah contoh tauladan baik kepada masyarakat,” katanya.
Sebanyak 146,737 anggota ATM dan pasangan yang berdaftar sebagai pengundi awal PRU15 akan mengundi esok di 153 pusat pengundian yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan hari pengundian adalah pada Sabtu ini. – BERNAMA