HomeBeritaPolitikPH akan kemuka RUU berkaitan antikebencian jika menang PRU15

PH akan kemuka RUU berkaitan antikebencian jika menang PRU15

CYBERJAYA: Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan rang undang-undang (RUU) berkaitan antikebencian atau mencegah kandungan serta tindakan yang boleh menimbulkan pergaduhan antara kaum jika kemenangan berpihak pada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pelaksanaan RUU sedemikian berupaya menghalang kejadian seperti kenyataan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir, yang mengatakan sesiapa mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka itu, tidak berulang.

Menurutnya, kenyataan seumpama itu akan timbul setiap kali tibanya musim PRU menerusi kempen atau ceramah yang diadakan oleh mana-mana parti.

“Oleh itu, dengan perbincangan yang berlaku dalam PKR, kita menyatakan sekiranya PH menang dalam PRU15 ini salah satu daripada keutamaan adalah untuk melaksanakan undang-undang anti kebencian.

“Ia bagi mencegah segala kandungan atau tindakan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap sesuatu kaum, agama, jantina serta yang difikirkan jelas sehingga menjejaskan ketenteraman awam,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Calon PH bagi Parlimen Pandan itu berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, pada Isnin.

Terdahulu, tular video berdurasi 28 saat memaparkan Mohd Shahiful memberikan hukum masuk neraka jika rakyat mengundi PH dan BN.

Bagaimanapun, Mohd Shahiful dalam kenyataannya baru-baru ini memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Mengulas tindakan Mohd Shahiful itu, Rafizi menegaskan bahawa meskipun permohonan maaf sudah dibuat, beliau tetap akan membuat laporan polis mengenai tindakan Mohd Shahiful itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya jam 11.30 pagi esok.

“Terima kasih kepada pihak polis kerana mengambil langkah proaktif sebelum saya buat laporan kerana kempen seumpama ini mengancam kepada ketenteraman awam.

“Sejak sekian lama kempen seumpama ini diadakan dan cuma sekali sekala sahaja bila dirakam dan kantoi. barulah mereka minta maaf. Namun tiada perubahan terhadap sikap atau tanggungjawab,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor