HomeBeritaPolitikIsham terima mandat dan restu bekas MB Selangor

Isham terima mandat dan restu bekas MB Selangor

CYBERJAYA: Calon BN Parlimen Shah Alam, Isham Jalil mengesahkan beliau menerima mandat dan restu untuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada Bekas Menteri Besar Selangor ke-11, Tan Sri Muhammad Muhd Taib atau lebih dikenali sebagai Mat Taib.

Beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan perkara tersebut menerusi siaran langsung Facebooknya ketika sedang dalam perjalanan ke mesyuarat di Bangunan UMNO Bahagian Shah Alam pada hari ini.

Dalam siaran tersebut, katanya beliau dimaklumkan bahawa Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor dan Persatuan Veteran UMNO Selangor telah mencadangkan namanya sebagai calon BN di Shah Alam.

“Saya sudah jumpa sebelum ini orang-orang lama di Shah Alam, sebelum itu saya jumpa bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Mat Taib.

“Beliau jemput saya datang rumahnya, saya sudah jumpa beliau, dan pagi tadi beliau WhatsApp saya, terima kasih Tan Sri, Tan Sri ucap tahniah dan memaklumkan yang mereka mencadangkan nama saya, dan saya amat-amat terharu,” ujarnya.

Tambahnya, beliau turut menerima sokongan daripada veteran Mubarak Selangor, Datuk Salamon Selamat iaitu seorang tokoh dan nama besar semasa UMNO kuat di Shah Alam dulu.

Dalam siaran tersebut, beliau turut berkongsikan apa yang ingin ditawarkan kepada rakyat Shah Alam, antaranya ialah memberi tumpuan terhadap politik positif, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menjaga alam sekitar.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari memaklumkan bahawa Isham menerima sokongan penuh daripada UMNO Bahagian Shah Alam untuk PRU15.

Beliau yang telah mempengerusikan mesyuarat diantara GAVEMS Shah Alam dan Pasukan Pengurusan PRU15 UBSA/BN Shah Alam, berkata demikian menerusi hantaran di Facebooknya.

“Alhamdullilah UMNO Bahagian Shah Alam dan BN Shah Alam menyokong penuh dan memberi komitmen sepenuhnya membantu calon P108 Saudara Isham Jalil bagi memenangi Parlimen Shah Alam,” katanya.

Author

Pilihan Editor