HomeBeritaPolitikIsmail Sabri beri gambaran kekal fungsi kerajaan sementara

Ismail Sabri beri gambaran kekal fungsi kerajaan sementara

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi gambaran bakal mempersembah cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini supaya fungsi kerajaan sementara yang sedang berjalan, diteruskan dalam satu tempoh tertentu sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk kelak.

Ia berikutan Majlis Kerja Tertinggi UMNO) dikatakan sepakat mahu Barisan Nasional (BN) berada di Dewan Rakyat sebagai pembangkang.

Ini bermakna BN solo tanpa sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Bera itu mengesahkan tidak menandatangani surat akuan (SD) untuk menyatakan sokongan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Dalam tangkap layar perbualan yang tular semalam, ia menunjukkan Ismail Sabri tidak mahu menyertai mana-mana gabungan, sama ada PN atau Pakatan Harapan (PH).

“Saya sedia dipecat… tetap tidak akan bersama PH,” demikian tangkap layar hantaran mesej dipercayai dihantar oleh Ismail Sabri di dalam grup WhatsApp pemimpin Umno.

Anaknya, Nina Ismail Sabri kongsi tangkap layar kumpulan sembang bapanya mengejutkan semua pihak dengan kapsyen, Biar tak berkuasa, jangan tak berprinsip.

Nama Perdana Menteri tidak termasuk dalam senarai 20 Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD untuk menyokong Muhyiddin.

Sumber parti itu memaklumkan 30 Ahli Parlimen BN dikatakan hampir mencapai kata sepakat untuk tidak menamakan mana-mana pemimpin daripada PH atau PN sebagai calon Perdana Menteri.

Mereka sebaliknya bersetuju mempersembah cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini supaya fungsi kerajaan sementara yang sedang berjalan, diteruskan dalam satu tempoh tertentu sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk kelak.

Ia berlaku berikutan BN tidak mempunyai jumlah Ahli Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan, namun sedar suasana politik tidak menentu juga memaksa fungsi sebuah kerajaan sementara diteruskan khususnya dalam menjamin kelancaran urusan Parlimen dan pentadbiran kerajaan.

Saingan untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10 terarah kepada Anwar dan Muhyiddin. Pada PRU15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN pula mendapat 73 kerusi.

Untuk menubuhkan kerajaan, sesebuah parti atau gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Author

Pilihan Editor