HomeBeritaKehidupan rakyat terjejas akibat kos sara hidup, gaji minimum - MyUndi

Kehidupan rakyat terjejas akibat kos sara hidup, gaji minimum – MyUndi

 

CYBERJAYA: Kos sara hidup dan gaji minimum merupakan isu yang paling menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia.

Perkara itu berdasarkan dapatan kajian dijalankan di portal MyUndi.com.my menerusi ruangan Suara Kita.

Hasil kajian, seramai 2,074 responden daripada pelbagai peringkat usia di negara ini telah menyatakan suara berhubung isu yang memberi kesan dalam kehidupan mereka.

Sebanyak 27.4 peratus responden menyatakan isu kos sara hidup memberi kesan langsung kepada mereka, manakala 14.3 peratus adalah mengenai isu gaji minimum.

Ia diikuti isu pendidikan (13.3 peratus), krisis makanan (12.8 peratus), alam sekitar (11.6 peratus), keselamatan (11.1 peratus) dan pengangkutan awam (9.5 peratus), lapor Berita Harian pada Jumaat.

Berdasarkan kajian, responden di Selangor, Johor dan Kuala Lumpur adalah mereka yang paling terkesan dengan isu kos sara hidup dan gaji minimum, yang mempengaruhi kehidupan B40 dan M40.

Responden dalam kumpulan usia 18 hingga 24 tahun pula dikenal pasti menjadi golongan yang paling terkesan dengan isu gaji minimum.

“Ini disebabkan hakikat yang golongan ini ialah mereka yang memasuki tenaga kerja dan memulakan kehidupan bekerja mereka,” katanya rumusan kajian itu.

Dalam pada itu, rata-rata rakyat Malaysia impikan kerajaan baharu yang akan dipilih selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat mengutamakan isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Manakala sebanyak 19.9 peratus responden pula mahu keutamaan diberikan kepada pembinaan fasiliti untuk rakyat dan 17.8 peratus kepada isu kelestarian alam sekitar serta keselamatan makanan.

Author

Pilihan Editor