HomeBeritaJika kerajaan tiada hutang, tak perlu GST - Dr Sathia

Jika kerajaan tiada hutang, tak perlu GST – Dr Sathia

SERENDAH: “Pendirian saya, kalau kerajaan tiada hutang, tiada isu (skandal) saya rasa GST memang tak perlu,” demikian kata calon Pakatan Harapan (PH-PKR) di Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Meskipun kira-kira 50 negara sudah melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Dr Sathia bersama kepimpinan PH tegas dengan pendiriannya menolak pelaksanaan semula dasar itu.

Ini kerana jelasnya, Malaysia sebenarnya mampu menjadi seperti salah satu negara terkaya dunia, Brunei yang tidak pun melaksanakan GST berbanding 50 negara yang melakukan sebaliknya.

“Jawapan saya mudah, kira banding apple dan pineapple (epal dan nenas) dengan apple dan apple.

“Untuk saya beritahu sama ada GST akan ada atau tidak (akan datang) kita kena kena tahu keadaan negara kita.

“Mengapa Brunei tak ada GST? Kerana mereka ada sumber asli. Negara kita Malaysia sebenarnya banyak, cukup dengan sumber asli untuk rakyat hidup dengan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi siaran langsung calon PH Parlimen Hulu Selangor bersama pihak media di Bilik Utama Gerakan PH di Antara Gapi, di sini.

Beliau diminta mengulas pertanyaan wartawan MEDIA VARIASI mengenai dakwaan seorang calon PKR sendiri yang tidak didedahkan identiti bahawa GST boleh dikembalikan dengan syarat perlu mekanisme pelaksanaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

PH sebelum ini dilaporkan menolak cadangan pelaksanaan semula GST, kerana tidak bersesuaian ketika negara sedang berdepan dengan inflasi yang semakin tinggi termasuk mereka yang masih terkesan akibat pandemik.

Ia susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan untuk memperkenalkan semula GST pada Mei lalu, sebagai langkah kerajaan menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Untuk rekod, Menteri Kewangan mendedahkan di Parlimen, hutang negara telah naik kepada RM1.045 trilion atau 63.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat Jun 2022.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), hutang kerajaan mencecah RM1 trilion setakat Jun 2022 berbanding saiz RM686.8 bilion sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya wartawan mengenai bentuk bantuan keperluan asas berbanding kerusi roda atau barangan sukan akan diberikan ketika perlu kepada setiap penghuni rumah di Parlimen Hulu Selangor jika menang pilihan raya akan datang, beliau menolak untuk memberikan bantuan beras dan makanan.

Ini kerana, beliau lebih suka menfokuskan bantuan jangka panjang dengan meningkatkan pendapatan rakyat lebih stabil dan kukuh berbanding memberikan sumbangan berbentuk keperluan asas.

“Saya seorang yang pantang beri beras dan makanan. Minta maaf ya, saya jujur.

“Kadang-kadang saya sedih, terpaksa buat kerana ia sudah jadi tradisi. Kita tak perlukan beras dan barang makanan tetapi pendapatan yang kukuh dan stabil.

“Jadi, daripada kita beri satu yang ‘temporary’ (jangka pendek), saya rasa perlu pendapatan stabil.

“Ini yang saya nak, rancangan saya. Saya akan cuba terbaik untuk mereka dapatkan ‘permanent’ dalam bentuk kewangan, kerana mereka boleh beli apa mereka perlukan,” katanya.

Dr Sathia sebelum ini mengakui tidak sanggup untuk tidak menerima gaji jika menang di kerusi Parlimen itu, sebaliknya akan diisi ke Tabung PH Hulu Selangor yang akan diwujudkannya nanti.

Beliau berkata, peruntukan gaji itu akan dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu 30 peratus (%) untuk belia, wanita (30%) dan kesihatan (40%).

Author

Pilihan Editor