HomeBeritaLapan kereta Raja-raja Melayu masuk Istana Negara

Lapan kereta Raja-raja Melayu masuk Istana Negara

KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan kenderaan Raja-raja Melayu dilihat memasuki Istana Negara dari Pintu 1 sejak dari jam 9 pagi hingga 11 pagi hari ini.

Kenderaan pertama dilihat ialah kereta Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Selepas itu pula ialah kereta Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Sekitar jam 10.30 pagi pula ialah kereta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Diikuti dengan kereta Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Seterusnya ialah kereta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan kereta Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Untuk rekod, semalam Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah memperkenan Istana Negara menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada Khamis.

Perbincangan tersebut adalah berhubung pelantikan seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri, pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Author

Pilihan Editor