KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam satu pergaduhan hingga menyebabkan kecederaan seorang lelaki di Kampung Pandan Dalam, Ampang, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 39 tahun itu merupakan seorang peniaga dan dia ditahan di sekitar Ampang.
Beliau berkata kejadian itu berlaku di Lorong Cantik 3 pada Khamis dan pihaknya menerima laporan berkaitan kira-kira pukul 2.24 petang.
“Hasil siasatan mendapati pergaduhan berlaku akibat salah faham dalam penggunaan jalan raya. Semasa kejadian, mangsa, 60, yang bekerja sebagai ‘wireman’ menaiki kereta bersama isteri dalam perjalanan pulang ke rumah sementara suspek menunggang motosikal.
“Pergaduhan di antara mangsa dan suspek berlaku dengan menggunakan senjata iaitu sebatang kayu golf, parang dan sebatang besi ‘stering lock’. Mangsa alami kecederaan patah di tangan kanan, luka di tangan kiri dan kanan dan pendarahan di dalam otak manakala suspek cedera di bahagian kepala. Kedua-duanya mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika suspek ditahan, pihaknya turut merampas pakaian dan sebatang besi yang dipercayai digunakan semasa kejadian dan hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan benzo.
“Suspek mempunyai empat rekod lampau atas kesalahan jenayah dan berkaitan dadah. Suspek telah ditahan reman selama enam hari sehingga 10 November,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara dan denda. – BERNAMA