HomeBeritaPH, PN tiada pelan hapus rasuah, hanya guna isu rasuah tutup salah...

PH, PN tiada pelan hapus rasuah, hanya guna isu rasuah tutup salah diri – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Rasuah paling hebat berlaku pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu selepas kali pertama Barisan Nasional (BN) dijatuhkan pembangkang ketika itu.

Demikian kata Penganalisis Politik Dan Ekonomi Bebas, Datuk Dr Ramalan Yunus yang merupakan Pengerusi World Islamic Chamber of Commerce di Amerika Syarikat dan Perunding Kewangan dan Pelaburan Antarabangsa.

Katanya, akhbar pelabur antarabangsa, The Wall Street Journal (WSJ) pernah melaporkan bahawa Malaysia diisytihar sebagai juara dunia dalam isu rasuah selepas Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan.

Transparency International pernah mendedahkan Malaysia mendapat markah paling teruk dalam Tinjauan Pembayar Rasuah iaitu antara 2018 hingga 2021.

“Tahun lalu, kira-kira separuh daripada 3,000 eksekutif dari 30 negara setuju mereka telah kehilangan kontrak pada tahun lalu kerana pesaing membayar rasuah di Malaysia.

“Isunya sekarang, kenapa hanya UMNO-BN sahaja yang digambarkan sebagai parti rasuah? Parti-parti lain tidak rasuah ke? Kenapa hanya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sahaja yang dianggap rasuah? Bagaimana dengan Tun M, Anwar Ibrahim, Muhyiddin, Mat Sabu adakah kerana aib mereka ditutup mereka bersih?

“Semua orang tahu Lim Guan Eng ada kes rasuah iaitu terowong ghaib yang nilainya lebih besar dari 1MDB.

“Jadi tidak betul kalau ada pihak yang mendakwa hanya UMNO-BN sahaja parti rasuah. Realitinya, Malaysia itu sendiri adalah sebuah negara perasuah,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Ramalan berkata, rasuah sudah berlaku secara meluas di semua peringkat dalam masyarakat di negara ini.

“Menuding jari dan hanya menyalahkan satu pihak sahaja tidak akan menyelesaikan masalah ini.

“Saya juga mahu bertanya, siapa di Malaysia ini yang digelar Mr 10 percent?,” katanya.

Justeru, Ramalan membidas semula pihak yang hanya melabelkan dirinya sebagai membela rasuah selepas beliau memutuskan untuk menyokong Ahmad Zahid dan UMNO-BN, supaya menunjukkan bagaimana rasuah diselesaikan.

Ini kerana beliau juga seperti orang lain, benci rasuah malah pernah menyatakan secara terbuka di sidang akhbar bahawa negara ini sedang dikuasai oleh penjenayah.

“Mana Pelan Induk dari PH, PN dan GTA untuk menghapuskan rasuah?

“Kalau tak ada Pelan Induk untuk menghapuskan rasuah, maknanya itu cuma sembang kari sahaja.

“Kalau benar rasuah adalah ancaman negara maka semua pihak harus bertanggungjawab untuk menghapuskan amalan rasuah.

“Soalannya sekarang, bila nak cadangkan ke parlimen supaya penjenayah rasuah di jatuhkan hukuman tembak sampai mati macam di China ?

“Parti mana yang boleh menang dua pertiga pada PRU15 ini, kita boleh desak beramai-ramai untuk menguatkuasakan hukuman mati kepada para perasuah?

“Jika di Jepun, Singapura statistik rasuah hampir sifar kerana mereka melaksanakan mesin ujian poligraf iaitu alat pengesanan bohong sebelum didakwa di mahkamah, banyak kes selesai di mahkamah, kita pula banyak kes tertangguh bertahun-tahun dan ramai juga jadi mangsa pendakwaan terpilih,” katanya.

Beliau juga menyeru rakyat supaya melihat semula strategi BN menempatkan calon muka baharu pada PRU15 kali ini.

“Itu maknanya UMNO-BN komited untuk membuat perubahan besar di negara ini.

“Bandingkanlah senarai nama calon BN dengan senarai nama dari parti lain. Dari situ kita sudah boleh menilai kualiti calon-calon yang bertanding.

“Bagaimana dengan Tun M di Langkawi,  Anwar di Tambun dan Muhyiddin di Pagoh?” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu memahami dulu erti sebenar ‘national interest, threat and security’.

“Kita bernegara bukan macam main masak-masak bak kata Tun Musa. Jadi kita kena tahu bab kepentingan dan keutamaan dalam bab bernegara.

“Kalau mahu melihat transformasi nasional berlaku di negara ini, beri kemenangan besar kepada UMNO-BN.

“Tidak ada parti lain yang cukup bersedia untuk memimpin dan mentadbir negara ini selain dari UMNO-BN,” katanya.

Author

Pilihan Editor