HomeBeritaLima calon PRU15 'bergabung' selamatkan Bukit Dinding

Lima calon PRU15 ‘bergabung’ selamatkan Bukit Dinding

SETIAWANGSA: Isu panas Bukit Dinding di Wangsa Maju, di sini, menjadi medium penyatuan calon Parlimen Setiawangsa yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) pada Sabtu ini.

Mereka masing-masing penyandang kerusi, Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PH, Nurul Fadzilah Kamaluddin (PN), Bibi Sunita Sakandar Khan (Pejuang), dua calon Bebas, Lim Yen Tiong serta Mior Rosli Mior Mohd Jaafar bagi mempertahankan Bukit Dinding daripada dicemari sebarang pembangunan.

Difahamkan, Bukit Dinding adalah puncak tertinggi dengan ketinggian kira-kira 291 meter dari aras laut, di Kuala Lumpur dan satu-satunya lokasi hijau strategik bagi penduduk pinggir bandaraya untuk berekreasi.

Meskipun berbeza perjuangan di medan politik, Nik Nazmi, Nurul Fadzilah dan Bibi Sunita senada menyuarakan kebimbangan rakyat yang secara jelas ribuan penduduk di kawasan itu menolak sebarang pembangunan, dan mempertahankan khazanah hijau negara.

Nurul Fadzilah, yang juga seorang peguam berkata, isu Bukit Dinding sudah lama berlarutan sejak bertahun-tahun, kerana penduduk tidak mahu lagi pembangunan sebaliknya mahu pihak berkaitan mengekalkan kehijauan yang semakin hilang dalam radar peta dunia.

Justeru, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dituntut untuk mengadakan perjumpaan rasmi bersama penduduk bagi menjelaskan sebab projek arahan pembangunan (DO) dikeluarkan tanpa pengetahuan majoriti penduduk.

“Kami mohon perjumpaan rasmi dengan DBKL dan pihak berkepentingan untuk terangkan kenapa DO dikeluarkan sebab penduduk di sini memang membantah kerana DO yang dikeluarkan tidak wajar.

“Malah, saya sendiri cadangkan, tubuhkan jawatankuasa khas dipengerusi Ahli Parlimen dan membincangkan semua isu Bukit Dinding, jika saya menang pada PRU15,” katanya.

Nurul Fadzilah berkata demikian pada sesi soal jawab bersama penduduk Setiawangsa berhubung isu Bukit Dinding dalam program Townhall Gathering, Bukit Dinding Hall, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Persatuan Sahabat Rimba Bukit Dinding, Jonson Chong.

Nurul Fadzilah juga tidak mahu berlaku tragedi Highland Towers berulang yang pernah menyelubungi rakyat di seluruh negara satu ketika dahulu pada 1993.

“Pada 2014, pihak berkuasa ada mengeluarkan kenyataan tempat ini tak elok dibangunkan, kalau tidak, boleh berulang tragedi Highland Towers kedua,” katanya yang tidak akan membiarkan penduduk bersendirian pertahankan isu itu yang menjadi sebahagian manifestonya.

Sebelum ini DBKL mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan sebarang kerja pembangunan di sepanjang kaki Bukit Dinding di Wangsa Maju di sini, selagi sesi komunikasi strategik bersama penduduk belum dimuktamadkan.

DBKL dalam kenyataan itu memaklumkan, tapak projek itu adalah kawasan dikhaskan untuk pembangunan kediaman di kawasan R12, Bandar Baru Wangsa Maju berdasarkan Pelan Konsep Pembangunan Bandar Baru Wangsa Maju yang diluluskan pada 1984.

Kenyataan itu memaklumkan cadangan pembangunan tersebut juga telah melalui proses pandangan awam dan DBKL turut mengadakan sesi libat urus bersama penduduk setempat seawal 2015.

Seterusnya, Perintah Pembangunan bagi cadangan pembinaan pembangunan Parcel 2 yang mengandungi dua blok kediaman 26 tingkat telah diluluskan pada 2022 selaras dengan pelan susun atur yang diluluskan pada 2018.

Sementara itu Jonson mendakwa, rakyat menolak projek itu berikutan ia bukan dibangunkan untuk golongan berpendapatan rendah, sebaliknya khusus kepada golongan T20 malah lebih lagi.

“Projek itu dipercayai untuk membangunkan pangsapuri mewah, bernilai jutaan ringgit bukan untuk orang miskin.

“Bagi kami sebagai rakyat kawasan ini, kami tidak perlukan pembangunan di Bukit Dinding dan mahu ia dikekalkan sebagai kawasan hutan hijau kerana itu lebih bermanfaat.

“Kalau ia dibangunkan juga, ada risiko runtuhan, flora fauna juga akan hilang, jejas biodiversiti keseimbangan alam, kita tak akan dapat semula hutan hijau kerana mengambil masa lama untuk pulih,” katanya.

Untuk rekod, Parlimen Setiawangsa bakal menyaksikan enam penjuru persaingan antara Nik Nazmi, Nurul Fadzilah, Bibi Sunita, Datuk Seri Izudin Ishak (BN), dan dua calon Bebas, Yen Tiong serta Mior Rosli.

Author

Pilihan Editor