HomeBeritaManfaatkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pengundi boleh lapor polis semasa kempen

Manfaatkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pengundi boleh lapor polis semasa kempen

PETALING JAYA: Pergerakan Rakyat Penyelamat Negara (RAPERA) mengesyorkan rakyat supaya memanfaatkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, sebaiknya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah peruntukan undang-undang mencegah salah laku, aktiviti, perbuatan dan rasuah yang menyalahi undang-undang ketika tempoh pilihan raya.

Pengasas RAPERA, Datuk Dr Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, jika sebelum ini hanya parti politik dan calon diingatkan supaya mematuhi piawaian etika, namun rakyat juga perlu diingatkan hak mereka mengenai akta berkenaan semasa berkempen menjelang PRU15.

Katanya, rakyat perlu memahami Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 termasuk memahami keputusan mahkamah yang dibuat berkaitan hukuman kesalahan pilihan raya di peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Semasa kempen, rakyat lupa calon harus mendaulatkan undang-undang, tak boleh mengatasi undang-undang, kalau masa kempen pun melanggar undang-undang, macam mana nak cari pemimpin yang elok.

“Tempoh kempen ini, saya cadangkan (pengundi) ambil video calon ketika ucapan ke, supaya semua ini dijadikan bukti jika mereka benar-benar menyalahi undang-undang supaya mereka dilucutkan hak sebagai wakil rakyat.

“Ia boleh dilaksanakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kepada calon-calon,” katanya kepada MEDIA VARIASI, ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Peguam kanan itu berkata, antara kesalahan yang boleh dikesan seperti penggunaan bahasa memecahbelahkan antara kaum, menghasut dari segi perkauman dan agama atau berbentuk rasuah untuk meraih undi.

“Sebagai contoh, janganlah ada parti jika (pengundi) tak undi mereka, maka yang tak undi itu akan masuk neraka, ini satu kesalahan hasutan.

“Kesalahan lain adalah sama ada wujud rasuah untuk mendapatkan undi. Kalau mereka beri RM20 atau RM100, hanya untuk bantu dari segi pengangkutan, kita boleh ambil, tak ada masalah tetapi kalau untuk tujuan undi untuk parti, itu adalah salah dari segi rasuah.

“Kesalahan kedua, mereka menghina kita untuk dibeli dengan nilai wang, itu rasuah dan sogokan. Ketiga, jika beri kita makan, jamuan tujuan untuk undi, itu adalah kesalahan tetapi jika beri kita makan minum untuk ceramah, itu tak mengapa,” katanya.

Justeru, beliau sekali lagi mengesyorkan supaya pengundi membuat pemerhatian melihat gelagat dan tindakan calon jika melanggar kesalahan akta, mereka boleh terus membuat laporan polis.

“Tujuan PRU adalah untuk memilih 222 wakil rakyat, kita jangan lupa mereka ditempatkan di parlimen dan akan menjadi menteri serta wujudkan kabinet kerajaan.

“Rakyat, kena faham apa tugas wakil rakyat di parlimen, untuk gubal undang-undang, jadi biarlah rakyat pilih wakil rakyat untuk gubal undang-undang yang mesra rakyat, tidak menindas, tak menyusahkan rakyat, perlu berhati-hati memilih rakyat.

“Gunakan hak anda sebagai pengundi dan inilah kuasa (akta) undang-undang yang ada pada parti dan calon pilihan raya,” katanya.

Author

Pilihan Editor