HomeBeritaPolitikMenyesal sertai gerakan Tun M jatuhkan Najib - Anas

Menyesal sertai gerakan Tun M jatuhkan Najib – Anas

KUALA LUMPUR: Dahulu dipuja sebagai idola selama 22 tahun, kini menyesal dan bertaubat untuk tidak lagi menyokong perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menyedari kesilapannya menyertai gerakan menggulingkan Datuk Seri Najib Razak bermula pada 2017.

Tempoh 22 bulan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) diterajui Perdana Menteri ketujuh, Tun Mahathir cukup memberi impak ke atas mantan Ketua Aktivis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Anas Sudin supaya mengingatkannya untuk berhenti menganiaya dan memfitnah Najib.

Bersatu diasaskan bersama oleh Tun Mahathir sebagai Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Anas ketika ditemui mendedahkan kebenaran yang berlaku di depan matanya sendiri, apabila beliau yang baru mengasaskan Bersatu di Negeri Sembilan, diminta untuk menyertai gerakan menjatuhkan Najib dari semasa ke semasa, malah menyemarakkan lagi kebencian terhadap Perdana Menteri Keenam itu.

“Pada 2016, saya pernah bertanya Tun Mahathir mengenai Najib, dan dia memang tak puas hati dengan Najib. Selepas itu, timbul isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya salah seorang pengasas Bersatu di Negeri Sembilan, dan kemudian saya bawa Tun Mahathir dan Mukhriz ke Seremban, diminta untuk jatuhkan Najib dan semarakkan (kebencian) seluruh Malaysia bermula pada 2017.

“Apa yang saya nampak, tak puas hati terhadap Najib tentang rasuah dan salah kuasa 1MDB. Ketika itu saya yakin dan percaya dengan Tun Mahathir sebab selama 22 tahun Tun sebagai Perdana Menteri, Tun memang idola saya, tapi selama 22 bulan, satu perkara luar biasa berlaku dalam negara kita,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Anas yang juga Presiden BARA meluahkan keinsafannya kerana berasa bertanggungjawab terhadap Najib sehingga ke penjara.

“Saya berdosa sebenarnya, sayalah orang (antara) yang menjatuhkan Najib, sayalah yang bertanggungjawab bersama Tun Mahathir dalam gerakan PH (ketika pemerintahan) menjatuhkan Najib, sayalah anak didik (Tun).

“Ketika itu rakyat Malaysia tak ada ketenangan. Pelbagai provokasi dibuat pimpinan pakatan iaitu DAP, itulah wajah sebenar mereka dizahirkan dalam Parlimen, hari-hari bergaduh.

“Hina orang Melayu kata pendatang, Islam, bawa balik abu mayat Chin Peng, buat himpunan bekas komunis di Kajang, dialah orang India dulu duduk tanah ini. Sebab itu juga kita tak mahu Datuk Seri Anwar jadi Perdana Menteri pada PRU15, (kerana PH-DAP),” jelasnya.

Beliau menambah, ketika zaman PH juga, kebanyakan pemimpin parti itu yang mempunyai kes mahkamah pada era BN, semua dibebaskan, malah Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menggugurkan kes 12 lelaki rakyat Malaysia atas dakwaan menyokong kumpulan pengganas, Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE), menjadikan mahkamah seperti undang-undang rimba.

“Berbeza ketika UMNO memerintah, pimpinan UMNO, menterinya masuk penjara. Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris dan Dr Mohamad Khir Toyo selain mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim serta Najib sendiri yang juga mantan Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, Anas berkata, beliau mula sangsi dengan kepimpinan PH, lebih-lebih lagi sejak penghakiman terhadap Najib dan pengurusan kes 1MDB di mahkamah membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang dikaitkan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Meskipun reda dengan keputusan mahkamah, beliau bagaimanapun berharap Najib menang ke atas kesnya akan datang selain dapat dibebaskan dari penjara lebih awal di bawah pengampunan diraja.

“Keputusan mahkamah, kita terima dengan reda, tapi saya masih mengharapkan Najib menang beberapa kes akan datang, dan mungkin dapat pengampunan dan keluar awal dari penjara,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Rembau 1995 hingga 2004 itu.

Author

Pilihan Editor