CYBERJAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah bertemu Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg untuk membincangkan pembentukan kerajaan Persekutuan.
Perkara itu berikutan tiada parti memenangi kerusi yang mencukupi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan secara sendiri.
“Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas.
“Insya-Allah, kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” tulisnya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam menyaksikan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.
Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, PN (73); Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6); Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing meraih satu kerusi.
Semalam Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata PN sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang dapat menerima prinsip dan perjuangan gabungan itu dalam membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, kecuali dengan PH.