CYBERJAYA: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan ekoran kejatuhan prestasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, BN kini perlu akur dengan suara rakyat yang diterjemahkan melalui undi mereka semalam.
“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.
“Usaha untuk memulih dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.
“Oleh itu, dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya YB Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai presiden pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, BN perlu membuat perubahan bagi memastikan parti itu relevan di mata rakyat.
“Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.
“Kita semua perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan demi masa depan parti ini,” ujarnya.
Untuk rekod, BN hanya memenangi 30 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan pada PRU15 kali ini.