HomeBeritaPolitikPAS ‘nikah’ BN cuma pandangan peribadi Takiyuddin

PAS ‘nikah’ BN cuma pandangan peribadi Takiyuddin

 

CYBERJAYA: Andaian PAS mungkin akan ‘nikahi’ Barisan Nasional (BN) jika gagal mendapat majoriti penuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekadar pandangan peribadi Datuk Seri Takiyuddin Hassan semata.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pandangan yang dilontarkan Takiyuddin itu bukan atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung PAS.

“Itu kenyataan Takiyuddin dan bukan Setiausaha Agung PAS.

“Jadi perkara itu perlu dibezakan dan ada kadangkala dimanipulasikan oleh sesetengah pihak.

“Untuk makluman semua, perkara membabitkan hubungan antara PAS dengan parti-parti lain mesti diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar harian Perikatan Nasional (PN) di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan, pada Selasa.

Sementara itu, Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan beliau sebelum ini telahpun diambil di luar konteks.

Jelasnya, beliau amat yakin bahawa PN dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal menjadi Perdana Menteri bagi parti berkenaan.

“Maka saya ingin tegaskan di sini bahawa kenyataan saya telah diambil di luar konteks dan tajuknya juga adalah mengelirukan pengundi.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada Perikatan Nasional. Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, bersih dan stabil.

“Dengan kenyataan yang jelas ini maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU15,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor