HomeBeritaPolitikJangan percaya 'ajaran sesat' pilihan raya - Dr Sathia

Jangan percaya ‘ajaran sesat’ pilihan raya – Dr Sathia

ANTARA GAPI: Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan menyeru rakyat agar jangan mempercayai ‘ajaran sesat’ pilihan raya kerana ia hanya wujud lima tahun sekali.

Beliau berkata, semua tahu pakatan parti politik mana yang keluarkan ‘fatwa’ siapa undi Barisan Nasional (BN) dan PH masuk api neraka.

“Isunya calon-calon Perikatan Nasional (PN) sendiri banyak juga bukan Islam, habis hendak kira macam mana itu. PH lebih banyak letak calon Melayu Islam dari mereka.

“Sebenarnya ini ajaran sesat untuk kepentingan mereka, berpihak kepada mereka, muncul setiap lima tahun sekali, menipu rakyat guna agama lepas itu mereka lupakan.

“Kerana isu ini saya banyak jumpa ustaz bertanya, ustaz kata Dr sentimen agama ini mainan mereka.

“Contoh lima tahun lalu mereka mahu laksanakan hukum hudud, sekarang ‘modal’ itu sudah tiada kerana mustahil dilakukan, perlu ada empat saksi untuk jatuh hukum, perlu adil.

“Kita berbilang kaum untuk hidup harmoni jangan ikut ajaran sesat pilihan raya, contoh PN ada calon bukan Melayu tetapi kenapa PN hanya letak muka Melayu dalam risalah kempen mereka?

“Jangan tipu rakyat, saya harap kita semua boleh berfikir mana yang tipu mana yang betul,” katanya kepada media dalam program Siaran Langsung Dr Sathia Bersama Media.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS Sik, Kedah, Mohd Shahiful Mohd Nasir pada 10 November lalu bahawa sesiapa undi BN dan PH akan masuk api neraka.

Kenyataan beliau bukan sahaja menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam namun ia adalah doktrin palsu yang sewajarnya dikenakan tindakan Jabatan Agama Islam Kedah.

Rata-rata netizen menyelar adakah PAS berlagak Tuhan menentukan syurga neraka kepada sesiapa sahaja.

Tiada siapa yang mengetahui syurga neraka dengan lebih mendalam melainkan Allah SWT, itu kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Mohd Shahiful.

Menurutnya, tidak harus dikatakan bahawa seseorang itu akan dimasukkan ke neraka melainkan bagi seseorang yang disebut secara jelas di dalam nas Al-Quran atau hadis seperti Firaun dan Abu Lahab.

Ini kerana, kita tidak tahu secara pasti apa yang terkandung di dalam hatinya sama ada iman atau kufur.

Yang kedua, kita tidak tahu apa akan berlaku terhadap seseorang pada penghujung hayatnya di dunia ini.

Dalam pada itu, Dr Sathia meminta rakyat menilai semula sebelum memilih wakil rakyat mereka pada 19 November ini agar mereka tidak tertipu lagi.

“PN secara keseluruhan adalah calon katak, sikap tidak setia dan tidak berprinsip macam Datuk Seri Azmin Ali lompat untuk beliau jadi PM, demi kepentingan diri bukan untuk rakyat.

“Banyak orang yang dia tipu, ada satu program dia kata buat program bersama saya, saya tidak pernah jumpa dia pun.

“Jika Azmin rasa dia boleh menang, minta maaflah, dia tak akan menang hanya segelintir sokong, dia tidak ikhlas dan bila-bila masa dia akan jadi calon katak,” katanya.

Author

Pilihan Editor