KUALA LUMPUR: Menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pengundi kali pertama diingatkan supaya menyelidik dengan teliti latar belakang calon dan tawaran parti politik yang bertanding.
Penyelidik Unit Demokrasi dan Tadbir Urus Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Halmie Azrie Abdul Halim berkata, semakan itu mustahak bagi memastikan mereka berupaya memilih calon berdasarkan kualiti berbanding percaturan permainan politik semata-mata. “Untuk pengundi kali pertama, sebaiknya buat perbincangan dengan rakan sebaya, ahli keluarga atau pensyarah tentang input yang berlaku pada masa sekarang. Mereka juga harus melakukan pembacaan tersendiri untuk mengenali calon secara lebih dekat. “Siasat juga mengenai tawaran calon terutama mengenai polisi yang ingin dibawakan serta trek rekod perkhidmatan (calon atau parti) kerana seperti kita yang tahu, kesemua tiga gabungan (politik) sudah menjadi kerajaan, jadi sudah tentu ada prestasi yang boleh dinilai,” katanya dalam Program Darah Muda yang menyentuh isu ‘Pengundi Kali Pertama: Apa Yang Patut dan Tidak? terbitan Bernama TV malam tadi. Dengan jangkaan bahawa ekonomi Malaysia meleset tahun depan, Halmie Azrie juga menasihati pengundi kali pertama agar peka dengan isu semasa terutama berkaitan usaha yang diangkat calon atau parti bagi mendepani cabaran terbabit. Berdasarkan data daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat sejumlah 21.1 juta individu layak mengundi pada PRU15 dengan lima juta daripadanya adalah pengundi kali pertama. Angka itu meningkat hampir dua kali ganda berbanding 11 juta individu layak mengundi pada PRU14 selepas had umur pengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik yang diluluskan oleh Parlimen. SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala pengundian awal pada 15 November – BERNAMA |