HomeBeritaPolitikPersaingan politik yang positif di Puchong - Syed Ibrahim

Persaingan politik yang positif di Puchong – Syed Ibrahim

PUCHONG: Walaupun bersaing secara empat penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada parti-parti yang sangat sengit saingannya, suasana pertandingan kali ini menunjukkan persaingan politik yang positif di Puchong.

Calon BN Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata demikian kepada MEDIA VARIASI selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah pada pagi Sabtu.

Menurut Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) itu, semasa proses Penamaan Calon Puchong, calon-calon tidak menunjukkan sebarang respons negatif di antara satu sama lain.

“Memang kita dapat lihat yang walaupun empat penjuru yang bertanding, kita dapat lihat calon-calon pun okay.

“Kita berborak tadi macam kawan sahaja dan tidak ada sebarang lawan, atau apa-apa sahaja seperti itu, semuanya tidak berlaku, semuanya tenteram sahaja.

“Alhamdulillah, ini kita dapat lihat satu perubahan sekarang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai situasi persaingan empat penjuru di Puchong.

Pada masa sama, beliau juga menyatakan kenyakinannya memenangi kawasan Parlimen Puchong dalam PRU15 mewakili BN.

“Saya nampak sokongan yang ada daripada pengundi-pengundi yang hadir pada hari ini, lebih 1,000 orang datang, memberi harapan kepada saya bahawa BN boleh menang kawasan ini, insya-Allah, kita akan cuba sedaya upaya,” katanya lagi.

Untuk rekod, Parlimen Puchong sebelum ini dimenangi PH oleh Gobind Singh Deo dengan undian majoriti yang besar pada PRU14 tahun 2018.

Keputusan BN meletakkan Syed Ibrahim sebagai calon mereka untuk memenangi kawasan itu untuk PRU15 dilihat sebagai satu cabaran yang besar dan menarik.

Ini merupakan kali pertama KIMMA menghantar wakil mereka bertanding pilihan raya setelah 46 tahun parti itu setia bersama BN di bawah gabungan parti Friends Of BN.

Author

Pilihan Editor