HomeBeritaPersonaliti calon jadi faktor pemilihan pengundi muda di Puchong

Personaliti calon jadi faktor pemilihan pengundi muda di Puchong

SERI KEMBANGAN: Sejak jam 8 pagi tadi, kelihatan orang ramai sudah mula memenuhi Pusat Mengundi di SMK Desa Serdang bagi kerusi Parlimen Puchong.

Tinjauan MEDIA VARIASI di lokasi berkenaan mendapati, antara barisan terpanjang yang menjadi tumpuan adalah di saluran empat yang terdiri dalam kalangan anak muda.

Salah seorang pengundi muda di Parlimen Puchong, Siti Hajar Arbakariya, 26, menyatakan proses pengundian setakat jam 10 pagi ini berjalan lancar.

“Tadi saya sampai dalam pukul 9.15, pukul 10 pagi dah settle.

“Saya memilih (calon) tidak mengikut parti, saya memilih personaliti itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, karisma yang terdapat pada calon menjadi penanda aras dalam menentukan cara dia bekerja dan berkhidmat buat rakyat.

Seorang lagi pengundi, Wong Pui Yeng, 35, turut menyatakan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, dia turut memilih berdasarkan personaliti calon.

Jelasnya, selaku rakyat Malaysia dia berharap agar pemimpin baharu yang menerajui negara kali ini dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

“Saya harap kerajaan stabil sebab ‘for the few past year’ tak stabil-stabil dan harap dapat membantu rakyat kerana sekarang inflasi banyak kan,” ujarnya.

Untuk rekod, Parlimen Puchong kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional dan seorang calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon yang bertanding adalah penyandang kerusi Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin (PH); aktivis kemasyarakatan, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang (Bebas); Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (BN) dan Chew Jyh Gang (PN).

Author

Pilihan Editor