HomeBeritaPolitikPRU15: Rina Harun calon PN di Sepang

PRU15: Rina Harun calon PN di Sepang

 

SEPANG: Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun diumumkan sebagai calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengumuman mengenai pemilihan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

“Rina calon kita di Sepang. Sah.. Ini Presiden yang cakap. Rina saya fikir diterima baik di sini, wajarlah saya umumkan malam ini. Inilah calon PN untuk Parlimen Sepang,” katanya semasa berucap di Jelajah Prihatin Parlimen Sepang di sini.

Pada PRU14 lepas, Rina yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad.

Sementara itu, Rina berkata, beliau berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan parti yang memilih beliau sebagai wakil gabungan itu dalam PRU15.

“Saya menerima ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk memastikan bahawa Sepang mampu untuk beri satu kerusi untuk kita menubuhkan Kerajaan PN pada 19 Nov nanti,” katanya.

Selain Rina, calon bagi Parlimen Sepang yang telah mengesahkan akan bertanding di kerusi itu ialah Raj Muni Aiman Athirah daripada Parti Amanah Negara dan Che Asmah Ibrahim daripada Gerakan Tanah Air.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November dengan penamaan calon pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November ini. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor