HomeBeritaPolitikPRU15: Saya tidak berada di bawah bayangan Azmin - Amirudin

PRU15: Saya tidak berada di bawah bayangan Azmin – Amirudin

GOMBAK: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari menepis dakwaan yang menyatakan beliau masih berasa di bawah bayangan pesaingnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam persaingan merebut kerusi ‘panas’ itu.

Menurut Amirudin, beliau tidak lagi mengikuti perkembangan bekas ‘guru politik’ nya itu susulan tindakan Azmin keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membawa kepada keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020 lalu.

“Pandangan berkenaan sudah lama melebihi dua tahun, saya tidak mengikuti jejak beliau, PH mengambil langkah kerana dasar yang dibawa adalah jelas untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Azmin mengambil langkah dengan memesong perjalanan politik beliau yang lahir dari PKR ke jalan yang lain dengan menyaksikan negara melahirkan kerajaan yang tidak stabil.

“Kalau saya ikut shadow (bayangan) beliau, sudah semestinya saya mengikut langkah politik Azmin,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon Parlimen Gombak di Sekolah Menegah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai cabaran beliau untuk memenangi kerusi tumpuan itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Besar, mengakui bukan mudah kerana beliau akan bersain dengan calon yang berada di peringkat Kerajaan Persekutuan serta mempunyai pengalaman yang luas dalam politik.

“Cabaran bukannya mudah untuk merampas semula Gombak, tetapi PKR melihat mempunyai peluang yang baik, berdasarkan kepada ‘mood’ serta sentimen sokongan daripada pengundi Gombak.

“Saya bukannya baharu berada di Gombak, selepas tempoh dua tahun Azmin Ali meninggalkan PH, saya telah mengambil alih urusan untuk mengelola serta mendengar pandangan dari orang Gombak. Saya telah menggunakan segala keupayaan untuk membantu menyelesaikan isu-isu setempat dan masyarakat.

“Cabarannya ada, lawan PH adalah dua calon daripada kerajaan persekutuan (Azmin Ali) dari PN dan (Megat Omar) mewakili BN tetapi saya lebih percaya sokongan dari penyokong kuat PH dan suara hati rakyat Gombak akan membawa kemenangan kepada PH walaupun bukan mudah kerana saya bertemu dengan pesaing-pesaing politik yang berpengalaman,” ujarnya.

Kerusi P98 Gombak menyaksikan persaingan sengit yang membabitkan lima penjuru antara Amirudin Shari (PH-PKR), Azmin Ali (PN-Bersatu) dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain yang merupakan anak jati Gombak.

Kerusi tumpuan itu diwarnai dengan persaingan dari dua lagi calon iaitu Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir (Perkasa-GTA), dan calon Bebas, yang merupakan  Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.

Author

Pilihan Editor