HomeMV+PendapatRevolusi jenaka rakyat, politik sebagai bahan lawak

Revolusi jenaka rakyat, politik sebagai bahan lawak

PEMIMPIN politik harus sedar stesen penyiaran audio visual telah pun ada di tangan rakyat Malaysia terutama menerusi aplikasi media sosial paling popular ketika ini iaitu Tiktok.

Algoritma media sosial di Malaysia tiba-tiba berubah hampir 360 darjah daripada kandungan kehidupan seharian dan kempen politik kepada corak jenaka rakyat yang lebih bersifat sindiran sosial antara pemerintah dengan pemerintah, pemerintah dengan rakyat, dan rakyat dengan rakyat, dalam beberapa hari ini.

Ia tercetus selepas tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun rakyat nampaknya belum ‘move on’ (beralih) dengan keputusan jumlah kerusi berjaya dicapai parti pilihan masing-masing, ekoran belum ada sebarang pembentukan kerajaan selepas tiga hari PRU.

Fenomena media sosial sebenarnya boleh membawa revolusi rakyat, dengan masing-masing bebas menzahirkan pandangan atau karikatur bermesej, sinikal, sarkastik, jenaka kreatif, yang boleh dicapai fahami sesiapa sahaja bahkan Israel koyak.

Tangkap layar kapsyen FB netizen

Ia kini bukan sahaja dijadikan alat hiburan semata-mata, tetapi menonjolkan kelemahan, situasi dan keadaan tidak senang duduk pemimpin politik ‘membuka mata’ kepada pembaca muka buku pelbagai lapisan.

Banyak contoh boleh dilihat, ada menjadikan arwah Mona Fendy dan Ayah Pin sebagai ‘content’ jenaka kreatif untuk meraih perhatian, ada yang menonjolkan karikatur tambahan kepada wajah pemimpin politik seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN), Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu).

Lawak jenaka netizen yang ditularkan

Malah, ada yang menyesal turun mengundi kerana keputusan akhir PRU15 tetap tidak membantu memberi kemenangan automatik kepada parti tertentu.

Jika dahulu jenaka rakyat berkisar cerita ala dongeng Melayu yang seperti cerita Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Belalang dan Si Luncai manakala ada cerita-cerita jenaka saduran seperti Mat Jenin, Abu Nawas dan Musang Berjanggut.

Cerita-cerita jenaka tradisional tetap mendapat tempat dalam masyarakat Melayu, tetapi berkembang dengan cerita-cerita Melayu sezaman terus wujud dan berkembang berfokuskan pemimpin politik.

Masyarakat Melayu pada masa dahulu bukan sahaja menggunakan karya ini sebagai hiburan semata-mata, namun sebagai alternatif untuk menyampaikan pengajaran dan makna berlapis bagi menyindir sesuatu perbuatan yang dipraktiskan oleh masyarakat Melayu pada ketika itu.

Penyampaian yang digunakan pada dahulu sangat halus, sesuai dengan sifat masyarakat Melayu itu sendiri yang dikenali sebagai masyarakat yang lemah lembut dan halus budi pekertinya tetapi berbeza ketika ini agak kasar dan lebih menusuk kalbu.

Mungkin kerana sudah terlalu tertekan dengan kehidupan ditambah dengan kerajaan masih tidak stabil, rakyat memanfaatkan sebaiknya media sosial dengan jenaka tersendiri dan lebih kreatif tanpa memberi mudarat kepada keamanan dan ketenteraman awam.

Semoga semua mampu mencapai kebersamaan demi kestabilan ekonomi dan negara.

Rakyat tetap kais pagi makan pagi demi kelangsungan hidup, mereka sebenarnya boleh terima apa sahaja pilihan yang diumumkan Yang di Pertuan Agong nanti kerana percaya kebijaksanaan Tuanku menyelesaikan kemelut di negara sejak jatuhnya BN kali pertama tahun 2018.

YDPA sentiasa memilih kepentingan rakyat yang dikasihinya berbanding segala-gala di Tanah Melayu ini!

 

Author

Pilihan Editor