HomeMV+PendapatApa yang rakyat harus faham mengenai Akta Anti Lompat Parti?

Apa yang rakyat harus faham mengenai Akta Anti Lompat Parti?

AHLI politik di setiap pelosok cenderung beralih sokongan mereka atau istilah mudah difahaminya, melompat dari satu parti ke parti yang lain atas alasan tindakan mereka itu adalah demi rakyat, demi negara.

Apa yang mereka tidak faham adalah rakyat Malaysia bukanlah lurus bendul sehingga tidak tahu perbuatan ahli politik melompat parti adalah untuk ‘political survival’ mereka sahaja.

Tindakan sedemikian bukan sahaja menjijikkan malah adalah satu salah guna proses demokrasi dan juga perbuatan khianat kepada mandat rakyat itu.

Beberapa langkah khianat seperti yang diulas di atas telah berlaku di Malaysia yang menjadi punca kepada ketidakstabilan politik di negara kita semenjak tahun 2020 selepas Langkah Sheraton.

Justeru itu, satu pindaan kepada Perlembagaan negara telah diusul dan diluluskan agar satu Akta Anti Lompat Parti boleh diperkenalkan.

Objektif utama Akta Anti Lompat Parti ini adalah untuk mengelakkan senario di mana individu yang dipilih untuk mewakili sesebuah parti politik dan menjadi wakil rakyat atas tiket parti tersebut tidak berpaling tadah kepada parti dan khianat mandat rakyat.

Secara terus terang, pemeteraian Akta Anti Lompat Parti ini adalah untuk mengelakkan senario di mana parti yang tidak memperoleh majoriti mahupun mandat rakyat tidak terlibat di dalam pembentukan kerajaan baharu di dalam apa jua kapasiti pun.

Maka, ianya menjadi satu kewajipan agar ahli Parlimen yang bertanding di atas tiket parti tertentu untuk menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti mereka (Presiden misalnya) untuk membuat sebarang keputusan untuk bersepakat dengan mana mana parti yang lain untuk membentuk kerajaan atau persefahaman yang akan membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara.

Ahli-ahli Parlimen ini tidak harus mengugut dan mengambil pendirian yang berbeza dengan parti mereka. Secara tidak langsung, pendirian tersebut adalah umpama melompat parti juga.

Prinsip seorang ahli Parlimen tidak harus ditentukan oleh kepentingan peribadi tetapi oleh dua prinsip rukun negara iaitu keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Yang Terkesan,
Rakyat Malaysia (Kepong)

Author

Pilihan Editor