HomeBeritaSaiz Kabinet besar jadi habuan politik, bazir duit rakyat - Peguam

Saiz Kabinet besar jadi habuan politik, bazir duit rakyat – Peguam

KUALA LUMPUR: Pengasas Pergerakan Rakyat Penyelamat Negara (Rapera), Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berpendapat saiz Kabinet tidak harus terlalu besar kerana akan dijadikan sebagai habuan sokongan politik dan membazir wang rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai pendirian sebenar berhubung jangkaan saiz Kabinet atau jumlah menteri di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguambela dan penguamcara itu  mendakwa kenyataan Cuepacs supaya menyarankan Anwar mengadakan perbincangan terlebih dulu dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, seolah-olah mahu saiz Kabinet besar berbanding pengecilan, yang dikemukakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan.

“Melihat kepada kenyataan, seolah-olah CUEPACS mahu saiz Kabinet yang besar walhal sekian lama rakyat jelata yang bertanggungjawab berpendirian bahawa saiz Kabinet tidak harus terlalu besar kerana dijadikan sebagai habuan sokongan politik.

“Keadaan seperti ini membebankan rakyat dengan kos pentadbiran yang tidak sepatutnya dalam keadaan mana rakyat sedang merana dengan kenaikan kos sara hidup dan hutang negara yang meningkat,” katanya kepada media di sini.

Jahaberdeen berkata demikian mengulas artikel terbitan sebuah portal, merujuk kenyataan Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat, berkata perbincangan bersama itu perlu dilakukan bagi mengelak kesan negatif kepada jentera pentadbiran kerajaan.

Peguam kanan itu bagaimanapun turut berasa hairan dengan kenyataan sama Cuepacs kerana beliau difahamkan, Cuepacs tidak memberi sebarang komen terhadap saiz Kabinet terdahulu.

Malah, beliau berkata, sudah tentu Anwar sudah membuat keputusan terbaik bagi memberi kelainan dan pembaharuan dalam pembentukan Kabinet di bawah pimpinannya, kali ini.

“Tentu sekali apabila sesuatu keputusan hendak dibuat perbincangan perlu diadakan dengan pihak yang terlibat dan pakar-pakar bila mana perlu.

“Ini adalah perkara yang sudah diketahui umum dan bijaksana,” katanya.

Justeru, beliau menyindir Cuepacs kerana tidak mengambil peluang menyatakan pendirian sebenar mengenai saiz Kabinet itu.

“Malangnya, beliau (Presiden Cuepacs) telah abaikan peluang bagi menyatakan pendirian Cuepacs berkaitan dengan saiz Kabinet,” katanya.

Author

Pilihan Editor