HomeBeritaSPR setuju cadangan Mahathir, tak benarkan guna telefon dalam tempat mengundi

SPR setuju cadangan Mahathir, tak benarkan guna telefon dalam tempat mengundi

 

SHAH ALAM: Pengerusi Penaja parti Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan ucapan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas kesudian menerima cadangannya supaya tidak membenarkan penggunaan telefon bimbit dalam tempat mengundi pada 19 November ini.

Menurut Mahathir yang juga Pengerusi parti Pejuang, tindakan itu amat penting untuk dilaksanakan bagi mengelak berlakunya sebarang perkara yang terjerumus ke arah rasuah.

“Saya ucap terima kasih kepada SPR kerana terima cadangan larang bawa telefon bimbit semasa mengundi.

“Ini satu cara elak parti menyogok selepas buang undi dan pertahan prinsip undi adalah rahsia,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Khamis.

Terdahulu, calon Parlimen Langkawi itu memohon SPR untuk mempertimbangkan cadangan tidak membenarkan pengundi membawa telefon bimbit ketika membuang undi.

Susulan itu, SPR menerusi satu infografik yang dimuat naik di platform media sosial rasminya memaklumkan pengundi tidak dibenarkan untuk menggunakan telefon bimbit ketika membuang undi di tempat mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Infografik berkenaan turut memaparkan 10 langkah pengundian perlu dipatuhi oleh pengundi ketika mengundi pada 19 November ini.

 

Author

Pilihan Editor