HomeBeritaTiga lelaki terlibat rusuhan terbalikkan kereta ditahan polis

Tiga lelaki terlibat rusuhan terbalikkan kereta ditahan polis

SERI ALAM: Tiga lelaki terlibat rusuhan menterbalikkan kereta mangsa kemalangan jalan raya di antara dua kenderaan seperti yang tular dalam satu video berjaya ditahan polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, video tular berkenaan kejadian kekecohan di sebuah stesen minyak itu berjaya dikesan pihak polis di media sosial.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak di kawasan Kota Masai, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor pada Khamis sekitar jam 9.40 malam.

“Bertindak atas maklumat pada Jumaat sekitar jam 10.45 pagi hingga jam 12 tengah hari, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam bersama-sama Balai Polis Taman Scientex IPD Seri Alam telah membuat tangkapan ke atas supek tiga lelaki tempatan berumur antara 17 hingga 24 tahun kerana merusuh.

“Tangkapan dibuat di sekitar kawasan Jalan Bunga Raya Masai dan Jalan Tembikai, Taman Kota Masa,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 / 427 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Kes juga di siasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dihukum RM5,000 sehingga RM10,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan.

Mohd Sohaimi turut mengesahkan, kekecohan berlaku selepas mangsa seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun mengalami kemalangan jalan raya dengan sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki berumur 21 tahun.

Selepas kejadian tersebut, kereta mangsa dirosakkan dan diterbalikkan oleh sekumpulan individu tidak dikenali, serta kedua-dua mangsa mengalami kecederaan selepas kemalangan jalan raya dan berkeadaan stabil.

“Pihak polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai tidak bertindak sendiri sebaliknya menyerahkan kepada polis menjalankan tugas serta mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” tegasnya lagi.

Author

Pilihan Editor