HomePendidikanUPMKB boleh jadi pelopor lahir graduan usahawan tani

UPMKB boleh jadi pelopor lahir graduan usahawan tani

 

BINTULU: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) mampu melahirkan graduan usahawan tani melalui kurikulum serta sokongan sistem pembelajaran dan pengajaran yang sedia ada.

Tuanku Canselor UPM dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah sebagai universiti berteraskan pertanian, universiti itu boleh menjadi pelopor untuk melahirkan graduan usahawan tani bagi memastikan bekalan industri agromakanan terus sentiasa stabil dan berkembang.

“Justeru, beta berharap agar UPM kampus Bintulu, Sarawak ini boleh dipertingkatkan dari segi kemudahan infrastruktur agar minat pelajar dalam bidang pertanian dapat dipupuk dan dilestarikan,” titah baginda.

Baginda melahirkan keyakinan dengan kepakaran dan sumber kemudahan yang dimiliki oleh UPM sebagai universiti penyelidikan utama negara, UPM mampu melahirkan graduan yang memberi impak besar terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke-46 di sini hari ini.

Pada konvokesyen yang julung kalinya diadakan di UPMKB itu, baginda turut bertitah kampus itu telah banyak melakukan kerjasama strategik untuk penyelidikan berimpak tinggi dengan agensi kerajaan khususnya kerajaan Sarawak.

Antara pencapaiannya menurut baginda ialah penubuhan Kursi Tok Nan dengan peruntukan RM2.54 juta dalam memacu usaha berterusan dan mempertahankan identiti unik serta kekayaan warisan budaya pribumi Borneo.

Baginda bertitah, telah mencapai persefahaman bersama Jabatan Hutan Sarawak dengan mewujudkan Hab Penyelidikan Hutan Sarawak dengan peruntukan RM10.95 juta.

Ia termasuk Projek Pemulihan Hutan di tapak seluas 47.5 hektar di UPMKB yang akan menjadi aspek penting dalam membantu pengurusan dan penyelidikan hutan.

Antara sumbangan lain kerajaan Sarawak ialah Projek Transformasi Padi yang dinamakan AgriHub atau Gedong untuk meningkatkan produktiviti padi daripada dua tan per hektar kepada 10 tan per hektar menerusi lima tuaian setiap dua tahun.

Perkara ini dapat dilakukan dengan menggunakan teknologi perapi tanah dan pertanian pintar, dengan dana penyelidikan sebanyak RM3 juta ini diharapkan dapat membantu Sarawak menjadi pengeluar makanan dengan bantuan hasil penyelidik UPM.

“Beta berasa sukacita apabila UPMKB dapat melaksanakan penyelidikan-penyelidikan yang berimpak tinggi.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa UPM Kampus Bintulu Sarawak telah dapat menyumbang kepakaran ilmu ke arah kemakmuran negeri Sarawak,” titah baginda, sambil berharap kejayaan penyelidikan itu dapat dimanfaatkan oleh komuniti setempat.

Baginda bertitah peranan UPM bersama kampus kembarnya di Bintulu itu akan diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Fakulti Perubatan Veterinar bagi memenuhi keperluan Doktor Perubatan Veterinar di kepulauan Borneo.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada UPMKB dalam jalinan kerjasama bersama-sama kerajaan negeri untuk membangunkan Sarawak ke arah Negeri Maju 2030.

Baginda juga percaya pelaksanaan Pelan Strategik UPM 2021-2025 telah memberi perkembangan positif kepada UPMKB.

Istiadat konvokesyen di Dewan Sri Kenyalang itu menyaksikan 405 graduan pelbagai program pengajian menerima Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana, Bacelor dan Diploma daripada Sultan Sharafuddin. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor