HomeBeritaPolitikWALI hanya dakyah palsu bawa rebah kepada BN

WALI hanya dakyah palsu bawa rebah kepada BN

KUALA LUMPUR: Konsep WALI (Winnable, Acceptable, Likeable) yang dilaungkan hanyalah retorik semata-mata, demikian kata Ketua Pemuda UMNO Ampang, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin.

Shahrul Nasrun dalam hantarannya di Instagram rasmi mendedahkan, penolakan oleh pengundi terhadap calon Barisan Nasional (BN) ditempatkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jelas kelihatan apabila beliau sendiri dan jenteranya membantu parti, sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Bila tiba tempoh kempen bermula hanya kelihatan bendera dan poster parti lawan mewarnai Ampang, BN tenggelam ke dasar lautan.

“Bayangkan hari Penamaan Calon MCA Ampang hadir bersama dengan 25 ahli sahaja. Bagaimanapun kami anak muda masih terus membantu calon BN tetapi penolakan oleh pengundi jelas kelihatan.

“Apabila Parlimen Ampang diserahkan kepada MCA, hampir setiap hari saya mencari ruang dan peluang untuk menyatakan hasrat bahawa UMNO mampu memberi saingan hebat kepada penyandang Ahli Parlimen, Datuk Zuraida Kamarudin, kerana (Pengerusi BN) mahu menjaga hati MCA, maka ia kekal milik MCA,” katanya hari ini.

EXCO Pemuda UMNO itu berkata, meskipun akar umbi dan kepimpinan menghormati institusi Presiden tetapi sebagai pemimpin, Presiden juga perlu berlapang dada menghormati kehendak akar umbi.

“Sudah tiba masa UMNO dipimpin oleh barisan anak muda yang mampu mengembalikan keyakinan rakyat.

“Majoriti anak muda mahukan pemimpin yang bersih, pemimpin yang tidak terpalit dengan sebarang kes rasuah. Mereka tiada pilihan.

Menurutnya, hanya satu cara mereka dapat menghukum pemimpin yang dilihat sombong dan angkuh. Hanya satu cara merehatkan pemimpin parti yang dilihat gergasi berkuku tajam, katanya lagi.

“Ada juga rakyat mahukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tetapi tidak mahu DAP bersama. Akhirnya pilihan yang ada adalah Perikatan Nasional (PN).

“Ayahanda Presiden, sudah tiba masanya Presiden berehat sepenuhnya dan beri tumpuan kepada kes mahkamah yang sedang berjalan. Berilah kami mandat bersihkan BN. Masih belum terlambat untuk kami berjuang kembalikan keyakinan rakyat,” katanya.

Author

Pilihan Editor