HomeBeritaAgong, Permaisuri mencemar duli bersantap di KFC Petronas TTDI

Agong, Permaisuri mencemar duli bersantap di KFC Petronas TTDI

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli mengunjungi restoran KFC Petronas Taman Tun Dr Ismail.

Istana Negara berkata menerusi hantaran yang dikongsi di Facebook rasminya pada Khamis, kunjungan mengejut itu adalah untuk baginda berdua menikmati santapan tengah hari di restoran tersebut.

“Seri Paduka Baginda YDPA dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat secara mengejut mengunjungi restoran KFC Petronas Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur untuk menikmati santapan tengah hari di restoran tersebut, hari ini.

“Turut berangkat paduka-paduka anakanda dan cucunda Seri Paduka Baginda berdua,” katanya.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua dan paduka-paduka anakanda serta cucunda berkenan beratur di kaunter bersama pengunjung restoran yang lain untuk memesan santapan tengah hari.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menikmati santapan di restoran tersebut bersama pengunjung yang lain.

“Selesai santapan, Seri Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa bertanya khabar dan beramah mesra dengan beberapa pengunjung restoran. Baginda berdua turut berkenan mengambil gambar bersama pengunjung,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor