HomeSukanArgentina mara ke final Piala Dunia 2022

Argentina mara ke final Piala Dunia 2022

JARINGAN gol oleh penyerang, Julian Alvarez dan satu sepakan penalti sumbangan, Lionel Messi melayakkan Argentina mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2022.

Kemenangan 3-0 menentang Croatia pada perlawanan separuh akhir pertama itu berlangsung di Stadium Lusail, Qatar pagi tadi.

Messi yang merupakan kapten pasukan itu berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-34, selepas Alvarez dijatuhkan oleh penjaga gol, Dominik Livakovic, lapor BBC.

Alvarez yang berusia 22 tahun mengambil keputusan sendiri dengan larian solonya untuk menjadikan kedudukan 2-0 lima minit kemudian.

Gandingan itu kemudiannya bergabung dengan sempurna pada minit ke-69 memudahkan Alvarez menjaringkan gol keduanya selepas gerakan Messi yang memukau penonton di garisan tepi dan melorong bola ke belakang melalui kaki pertahanan Josko Gvardiol, sekali gus memastikan penampilan final Piala Dunia keenam Argentina.

Ini bermakna Argentina bakal berdepan Perancis atau Maghribi dalam perlawanan akhir pada Ahad ini.

Author

Pilihan Editor